Kerajaan Negeri lantik Panel Penyemak Bebas bagi mengkaji laporan post-mortem krisis air Pulau Pinang

KENYATAAN MEDIA EXCO INFRASTRUKTUR DAN PENGANGKUTAN NEGERI PULAU PINANG
George Town, 22 Ogos 2022
Pelantikan Panel Penyemak Bebas Krisis Air Pulau Pinang

Selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 5 Ogos 2022, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik calon-calon berikut sebagai Panel Penyemak Bebas (PPB) yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan air serta pengurusan lembangan tadahan air untuk membincangkan, meneliti dan mengkaji terhadap Laporan Post-Mortem yang disediakan oleh pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengenai krisis bekalan air yang berlaku di Pulau Pinang pada 6 Julai 2022 sehingga 11 Julai 2022 yang lalu:

a) YBhg. Dato’ Ir. Ting Chek Choon;
b) YBhg. Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi bin Zakaria; dan
c) YBhg. Dato’ Ir. Lim Chow Hock

Fungsi dan peranan PPB adalah sebagaimana terkandung dalam terma rujukan yang telah diluluskan sebelum ini iaitu:

i) Mengenal pasti faktor kepada berlakunya krisis air di Negeri Pulau Pinang;
ii) Mengenal pasti kelemahan semasa berlakunya krisis air di Negeri Pulau Pinang;
iii) Mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab;
iv) Mencadangkan langkah-langkah jangka masa pendek, jangka masa sederhana pendek dan jangka masa panjang bagi penyelesaian krisis air yang berlaku; dan
v) Mencadangkan kepada Kerajaan Negeri langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah krisis air daripada berulang pada masa hadapan.

Ahli-Ahli PPB yang dilantik akan diberi masa (3) tiga bulan daripada tarikh pelantikan mereka yang telah berkuat kuasa pada 10 Ogos 2022 untuk memuktamadkan dapatan mereka.

Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan
Negeri Pulau Pinang


Scroll to Top