Kerajaan Negeri Akan Pertimbangkan Pengintegrasian Pas Mutiara Dengan Perkhidmatan Feri Baharu: Exco Infrastruktur, Pengangkutan & Digital Negeri Pulau Pinang

Kenyataan Media Exco Infrastruktur, Pengangkutan & Digital Negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari pada 7 September 2023

Kerajaan Negeri Akan Pertimbangkan Pengintegrasian Pas Mutiara Dengan Perkhidmatan Feri Baharu

Kerajaan Negeri mengambil maklum pelaksanaan tambang tiket baharu oleh Penang Port Sdn Bhd yang berkuat kuasa hari ini. Tambang baharu bagi pejalan kaki berharga RM2 sehala atau RM4 sekiranya penumpang berulang-alik. Ini merupakan kenaikan berbanding harga terdahulu, iaitu RM1.20 bagi perjalanan ulang-alik.

Kerajaan Negeri juga mengambil maklum pengumuman Pas Bulanan dengan diskaun 50% sehingga 31 Disember 2023 bagi semua penumpang pejalan kaki berwarganegara Malaysia. Ini akan secara langsung mengurangkan tambang kepada RM1 sehala atau RM2 bagi perjalanan ulang-alik yang tersasar kepada penumpang harian (daily commuter). Pas Bulanan ini juga tidak terhad kepada tempoh masa dan boleh dipakai sehingga kredit dalam pas tersebut digunakan sepenuhnya. Kerajaan Negeri menyambut baik Pas Bulanan yang ditawarkan ini.

Bagi mengurangkan lagi beban rakyat pada jangka masa panjang, khususnya penumpang tetap yang menggunakan perkhidmatan feri secara kerap, saya telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Kami secara prinsip bersetuju untuk pertimbangkan pengintegrasian Pas Mutiara (pas bulanan yang kini dibiayai oleh Kerajaan Negeri bagi penumpang bas Rapid Penang) dengan perkhidmatan feri agar satu kadar yang disubsidi dapat ditawarkan bagi manfaat rakyat.

Sungguhpun begitu, cadangan ini perlu diperincikan dengan lebih mendalam terdahulu dan pelaksanaannya juga tertakluk kepada pengintegrasian sistem kedua-dua bas dan feri yang dijangka mengambil masa beberapa bulan.

Kerajaan Negeri terus komited untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kementerian Pengangkutan bagi mencapai hasrat untuk meningkatkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh Negeri Pulau Pinang.

Zairil Khir Johari
EXCO Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital
Negeri Pulau Pinang

Scroll to Top
Scroll to Top