Keputusan JV Projek PSR persetujuan bersama, bukan hanya satu pihak: Setiausaha Politik kepada KM

KENYATAAN MEDIA OLEH SETIAUSAHA POLITIK KEPADA KETUA MENTERI, TEH LAI HENG (22 JUN 2021 DI KOMTAR, GEORGE TOWN):

KEPUTUSAN JV PROJEK PSR MERUPAKAN PERSETUJUAN BERSAMA MENERUSI MESYUARAT MMK DAN BUKANNYA HANYA SATU PIHAK

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan ini menegaskan bahawa keputusan usaha sama (JV) Kerajaan Negeri untuk melaksanakan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) bagi Pulau A yang dicapai adalah berdasarkan persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang (MMK) yang dianggotai oleh Ahli-ahli MMK (Exco) Pulau Pinang pada 24 Mac 2021.

Persetujuan bersama berkaitan sekali gus membuktikan dan sama sekali menangkis kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab dengan mendakwa bahawa JV tersebut dicapai berdasarkan persetujuan satu pihak sahaja.

Ini merupakan dakwaan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tentunya memperkecilkan keputusan mesyuarat MMK yang dicapai sebelum ini. Malah, tindakan menularkan kenyataan berkaitan seharusnya memperoleh tindakan pihak berkuasa.

Pihak yang menyebarkan berita palsu ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi juga mempunyai niat jahat untuk memberikan gambaran bahawa ada perpecahan dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Mereka juga dilihat rakus membantutkan rancangan pembangunan negeri ini untuk kepentingan rakyat Pulau Pinang demi kepentingan peribadi mereka sendiri.

Keputusan untuk membentuk JV bagi perlaksanaan Pulau A adalah sebagai rancangan pembangunan jangka panjang Kerajaan Negeri untuk mengembangkan industri; mewujudkan peluang pekerjaan; meningkatkan daya hidup dan daya tahan iklim; serta membantu dalam usaha pemulihan negeri bagi menyelamatkan ekonomi Pulau Pinang yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19.

TEH LAI HENG

Scroll to Top
Scroll to Top