“The facts speak for themselves”!
Artikel ini merupakan balasan kepada artikel bertajuk “PSR PROJEK GEOPOLITIK UNTUK USIR MELAYU PULAU PINANG” yang diterbit oleh Harakahdaily pada 23.10.2020. Artikel tersebut bukan sahaja dihujani cemuhan-cemuhan nugatori malah boleh dilihat sebagai satu cubaan terdesak (‘desperate attempt’) untuk mempolitikkan projek-projek yang diterajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Projek ‘Penang South Reclamation’ (PSR) merupakan projek yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi mengatasi peningkatan jumlah penduduk dan juga perkembangan industri di negeri Pulau Pinang. Selain itu, Projek PSR ini telah pun mendapat segala kelulusan wajib seperti yang diketengahkan Kerajaan Persekutuan (ini adalah termasuk ‘Environmental Impact Assessment’ dan ‘Social Impact Assessment’). Maka, kenyataan Muhammad Fauzi Yusoff (Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang) adalah sungguh mengelirukan dan dibelungi tanda tanya apabila Fauzi menyatakan projek ini mendatangkan impak yang merbahaya kepada alam semula jadi dan para penduduk wal hal segala kelulusan Kerajaan Persekutuan berjaya diperoleh Kerajaan Negeri.
Keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak boleh disangkal. Bagi memastikan kepentingan para nelayan dan ahli keluarga terdekat yang terjejas susulan projek PSR ini, Kerajaan Negeri telah bertindak pantas dengan menubuhkan Jawatankuasa Petugas Nelayan yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Zakiyuddin Abdul Rahman. Jawatankuasa ini sedang aktif memuktamadkan Pakej Bantuan Hidup dan Pakej Pemerkasaan (jeti nelayan baharu, koperasi nelayan, skim tuisyen dan Pendidikan untuk anak-anak serta peluang pekerjaan bagi mereka yang berkelayakan).
Sekali lagi saya ingin menegaskan Kerajaan Negeri tidak akan membiarkan para nelayan begitu sahaja! Kerajaan Negeri adalah komited dalam memberi bantuan pelbagai bentuk termasuk; bayaran tunai, pembinaan jeti-jeti baharu dan lain-lain kemudahan yang akan membantu mereka dalam aktiviti menangkap ikan. Kerajaan Negeri juga komited dalam mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk para nelayan seperti perkhidmatan bot pengangkutan, penghantaran makanan kepada pekerja pembinaan dan lain-lain. Bagi memastikan para nelayan dapat menikmati mutu kehidupan yang lebih baik, program-program latihan semula untuk mempelajari kemahiran baru turut disediakan Kerajaan Negeri. Tambahan pula, anak-anak para nelayan turut akan mendapat tuisyen percuma.
Nescaya, berdasarkan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan segala kepentingan warga Pulau Pinang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pelaksanaan projek-projek Kerajaan Negeri, cemuhan Fauzi yang konon nya mencerminkan Kerajaan Negeri menindas komuniti masyarakat Melayu adalah disangkal sekeras-kerasnya. Bak kata perpatah; “The facts speak for themselves”!
PTMP merupakan satu projek Kerajaan Negeri yang menyeluruh dan bertujuan untuk mengintegrasi sistem pengangkutan moden untuk manfaat seluruh warga Pulau Pinang dalam jangka masa panjang. Di samping itu, satu-satunya objektif teras PTMP adalah untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang. Objektif teras ini masih kekal sehingga hari ini dan bukannya seperti yang didakwa Fauzi. Di sini saya ingin mencabar Fauzi untuk mengemukakan segala bukti yang menyatakan terdapat perubahan dalam objektif teras PTMP. Jika tiada, ini hanyalah ‘mere allegations’.
‘Project Delivery Partner’ (PDP) yang dilantik Kerajaan Negeri merupakan PDP yang mematuhi segala syarat yang termaktub dalam ‘Request For Proposal’ (RFP). Oleh itu, segala kekhuatiran yang dipamerkan Fauzi adalah tidak berasas.
Akhir kata, projek terowong dasar laut merupakan satu pelan jangka masa panjang untuk menghubungkan Pulau Pinang dan Seberang Perai. Projek terowong dasar laut ini bukan sahaja mampu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kedua-dua Jambatan Pulau Pinang, malah, terowong dasar laut ini akan bertindak sebagai sebuah ‘catalyst’ untuk pembangunan Seberang Perai. Untuk makluman, tiada se-sen pun yang dibayar Kerajaan Negeri kepada PDP bagi pelaksanaan projek terowong dasar laut dan tiada jaminan Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek terowong dasar laut pada masa terdekat.
Vijay Pillay Ravichandran Chong
Pengerusi
DAP Cawangan Taman Seri Setia,
Pulau Pinang