Kenyataan Media YB Tuan Jagdeep Singh Deo, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (EXCO) Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan pada 4 Januari 2018 (Khamis) di George Town, Pulau Pinang:
Saya begitu gembira berada di skim perumahan Taman Soon Boon Kee, di Datok Keramat, Pulau Pinang untuk mengumumkan penyempurnaan projek pembaikan lif di sini yang berharga RM15,603.20 di bawah Tabung Maksima 80% Negeri Pulau Pinang. Malahan sebelum ini dua lagi projek telahpun diluluskan di skim perumahan ini, iaitu pembaikan lif (tahun 2014 pada kos RM50,000) dan pembaikan tembok (tahun 2017 pada kos RM49,075).
Ini adalah berbeza secara langsungnya dengan program penyelenggaraan Kerajaan Persekutuan di bawah BN iaitu Tabung Penyelenggaraan 1 Malaysia (TP1M) yang mana prestasi penyaluran dana di bawahnya terhadap permohonan-permohonan untuk projek-projek kritikal sebegini dari skim-skim perumahan di Pulau Pinang adalah amat kurang memuaskan.
Untuk makluman, di bawah TP1M, fakta yang tidak dapat dipertikaikan adalah sejak penubuhannya pada tahun 2010, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)nya telahpun memohon sumbangan daripada tabung tersebut di mana dari semakan kami, didapati daripada 143 permohonan yang dibuat sejak 2012, hanya 29 permohonan telah diluluskan. Malahan rekod menunjukkan sejak tahun 2016 tiada permohonan dari skim perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah diluluskan langsung.
Ia juga adalah amat mengejutkan untuk melihat betapa menurun sumbangan yang diperuntukan melalui TP1M sejak penubuhannya pada tahun 2013, di mana pada 2013 sumbangan melalui tabung ini kepada seluruh negeri di Malaysia adalah RM32.82 juta; untuk tahun 2014 sumbangan yang diperuntukan adalah RM46.49 juta; bagi tahun 2015 sumbangan yang diperuntukan adalah RM50.73 tetapi sumbangan tersebut telah menjunam sehingga RM3.98 juta pada tahun 2016, iaitu penurunan sebanyak 92.5% dari tahun sebelumnya.
Kenyataan saya tersebut sememangnya disahkan melalui jawapan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada YAB Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut yang jelas menunjukkan Negeri Pulau Pinang dan negeri lain, termasuk Kerajaan Negeri di bawah BN-UMNO, seperti Kedah, Kelantan, Perlis, Sarawak, Terengganu, WP Putrajaya dan WP Labuan yang langsung tidak menerima sebarang peruntukan di bawah tabung ini.
Malahan dalam Bajet 2018, Perdana Menteri telah mengumumkan RM200 juta akan diberikan kepada TP1M. Saya telahpun memohon kepada Kementerian memandangkan ini agar projek-projek dari Negeri Pulau Pinang yang belum diluluskan diluluskan dengan kadar segera memandangkan pengumuman Perdana Menteri tersebut.
Dalam pada ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telahpun menulis surat secara rasmi melalui kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang masing-masing bertarikh 14 dan 15 September 2017 kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk menanyakan status terkini penyaluran dana melalui TP1M kepada Pulau Pinang. Namun adalah amat menghampakan untuk dinyatakan bahawasanya sehingga hari ini, tiada maklum balas langsung terhadap pertanyaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui surat tersebut.
Begitu malangnya sejak surat rasmi tersebut daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang ditulis kepada Kerajaan Persekutuan, langsung tiada sebarang maklum balas daripada mereka.
Memandangkan prestasi yang kurang memuaskan di pihak Kerajaan Persekutuan di dalam isu penyelenggaraan skim-skim perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah di Negeri Pulau Pinang di bawah TP1M, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan usahanya di dalam mempertimbangkan permohonan-permohonan dan meluluskannya sekiranya didapati layak.
Berbanding dengan kegagalan sepenuhnya Kerajaan Persekutuan dalam penyaluran dana melalui TP1M untuk penyelenggaraan skim-skim perumahan RMM Jenis ‘A’ dan ‘B’ (Kos Rendah dan Sederhana Rendah), Kerajaan Negeri Pulau Pinang telahpun melalui dananya iaitu menerusi Tabung Penyelenggaraan Maksima 80% Pulau Pinang (TPM80PP) meluluskan permohonan yang bernilai RM12,133,577.42 sejak tahun 2013 untuk kerja-kerja penyelenggaraan skim-skim perumahan RMM Jenis ‘A’ dan ‘B’ (Kos Rendah dan Sederhana Rendah) tersebut.
Setelah 20 mesyuarat diadakan sejak tahun 2013, sebanyak 96 projek yang melibatkan 52 projek penyelenggaraan dan pertukaran lif; 21 projek penyelenggaraan dan pertukaran tangki air dan sistem perpaipan; 8 projek penyelenggaraan dan pertukaran bumbung dan 15 projek penyelenggaraan lain-lain seperti pengecatan, tar semula jalan, pembinaan tembok telah diluluskan. Selain daripada ini, sebanyak 17 projek lagi telahpun diterima dan akan dipertimbangkan di dalam mesyuarat yang akan datang.
Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan sebanyak RM6.8 juta untuk tujuan Tabung Penyelenggaraan Maksima 80% Pulau Pinang.