Tue. Oct 6th, 2026

1.⁠ ⁠DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan Akmal Salleh mengetuai perarakan dan demonstrasi di depan sebuah kedai logam di Kepala Batas semalam walaupun amaran dari Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang telah diberikan supaya tidak ada sebarang perhimpunan diadakan.

2.⁠ ⁠Tindakan tersebut merupakan satu bentuk buli dan ugutan terhadap peniaga tersebut walaupun siasatan masih dijalankan dan beliau telah memohon maaf terhadap kesilapan pemasangan bendera.

3.⁠ ⁠Tindakan Akmal tidak mengendahkan amaran pihak polis juga adalah satu perbuatan mencabar kedaulatan undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam yang menyebabkan kegusaran peniaga-peniaga di sekitar kawasan tersebut sehingga mereka terpaksa menutup perniagaan mereka lebih awal.

4.⁠ ⁠Perbuatan seperti ini adalah melampaui batas undang-undang dan norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Hukuman setimpal perlu dijatuhkan terhadap perbuatan melampau seperti ini.

5.⁠ ⁠Justeru, saya mengarahkan sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap kejadian semalam di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah (criminal intimidation), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan), Seksyen 505 Kanun Keseksaan (mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam).

6.⁠ ⁠Laporan polis juga akan dibuat di bawah seksyen-seksyen baharu untuk menangani buli iaitu Seksyen 507B Kanun Keseksaan (menyebabkan mangsa mengalami gangguan, distres, ketakutan atau kebimbangan) dan 507C Kanun Keseksaan (mengeluarkan kata-kata yang berkemungkinan menyebabkan mangsa terganggu, distres, takut atau bimbang).

7.⁠ ⁠Saya sekali lagi menegaskan bahawa Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan. Akan tetapi, perbuatan yang mengugut dan membuli, serta menimbulkan ketegangan bukanlah cara untuk menyelesaikan isu ini.

LOKE SIEW FOOK
SETIAUSAHA AGUNG DAP
15 Ogos 2025