KENYATAAN MEDIA OLEH YB CHOW KON YEOW, AHLI EXCO KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
BAGI PORTFOLIO KERAJAAN TEMPATAN, PENGURUSAN LALU LINTAS DAN TEBATAN BANJIR PADA KHAMIS, 10 OGOS 2017
===================
Wang Amanah Saliran Negeri tidak diselewengkan seperti didakwa oleh pembangkang, sebaliknya digunakan dengan berkesannya untuk menangani masalah banjir
——————————
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2016 Siri 1 telah mengesyorkan supaya Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memastikan semua hasil kutipan dan baki RM22.09 juta Wang Amanah Saliran yang dikutip oleh MPSP diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang (JPSPP).
Ekoran dari itu, akhbar New Straits Times (7 Ogos 2017) telah melaporkan bahawa ADUN Penanti Dr. Norlela Ariffin dan ADUN Pulau Betong Datuk Muhammad Farid Saad telah mengkritikkan tindakan MPSP dan mendakwa projek-projek tebatan banjir tidak dapat dilaksanakan.
The Star Online pada 7 Ogos 2017 juga melaporkan kenyataan Bendahari Pemuda MCA Dato’ Lee Beng Seng yang mendakwa Negeri Pulau Pinang telah menyeleweng Wang Amanah yang sepatutnya untuk melaksanakan projek tebatan banjir.
Saya merasa kesal bahawa pihak pembangkang telah membuat tuduhan tidak berasas bahawa Wang Amanah Saliran Negeri Pulau Pinang diseleweng untuk tujuan lain. Saya ingin menegaskan bahawa Wang Amanah ini digunakan dengan baiknya untuk melaksanakan projek-projek tebatan banjir di seluruh negeri Puala Pinang.
Sebagai contoh, bagi tempoh Tahun 2008 hingga 2017, Jawatankuasa MMK Tebatan Banjir telah meluluskan perbelanjaan sebanyak RM176.9 juta untuk projek-projek tebatan banjir walaupun kutipan bagi tempoh ini hanya berjumlah RM131.9 juta.
Ini membuktikan ketegasan pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha menangani masalah banjir kilat di negeri ini.
Selain dari menggunakan Wang Amanah Saliran, Kerajaan Negeri juga telah menunjukkan keprihatiannya dengan meluluskan RM150 juta dalam Belanjawan 2017 untuk melaksanakan sembilan projek tebatan banjir yang berimpak tinggi.
Pihak Kerajaan Negeri, JPSPP dan MPSP rela dan mengamal sikap telus menerima teguran Audit bahawa ada kelemahan dalam penyerahan hasil kepada Akaun Amanah Saliran.
Pihak MMK Kerajaan Negeri dan MMK Tebatan Banjir telahpun mengeluarkan arahan kepada MPSP pada Tahun 2016 untuk menyerahkan baki kutipan terkumpul kepada JPSPP yang ini dijangkakan akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.
Manakala kutipan yang semasa perlu diserahkan kepada JPSPP setiap tiga bulan supaya projek-projek tebatan banjir dapat diluluskan untuk pelaksanaan.
ADUN Penanti Dr. Norlela Ariffin juga menuntut supaya ada ketelusan dalam jumlah wang yang dikutip untuk Wang Amanah Saliran. ADUN berkenaan tidak sepatutnya menimbulkan isu ini sebab sebagai Ahli Jawatankuasa MMK Tebatan Banjir, beliau adalah sedar dan diberi maklumat terkini dalam setiap mesyuarat jawatankuasa ini yang diadakan setiap dua bulan. Sebenarnya status terkini Wang Amanah Saliran ini menjadi agenda tetap mesyuarat dimana jumlah kutipan, perbelanjaan dan baki tabung dilaporkan.
Sebenarnya, dalam laporan Ketua Audit ini, pihak Audit juga menyatakan bahawa prestasi pelaksanaan projek dalam tempoh audit ini adalah memuaskan.
Pihak Kerajaan Negeri berharap semua agensi yang berwajib akan terus berusaha demi memastikan masalah banjir kilat dapat ditangani dengan lebih berkesan.