DAP mengecam sekeras-kerasnya “undang-undang Ketuanan Yahudi” yang bersifat zalim, tidak adil dan tidak demokratik.
Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Knesset Israel yang telah meluluskan “undang-undang negara Yahudi” yang bersifat zalim, tidak adil dan tidak demokratik sama sekali.
Undang-undang terbaru tersebut menjunjung konsep Ketuanan Yahudi dan menindas hak-hak minoriti, terutamanya bangsa Arab yang merupakan kumpulan minoriti terbesar di negara itu.
Identiti penduduk Arab termasuk bahasa mereka telah diketepikan dan dinafikan melalui proses perundangan yang bersifat perkauman. Bahasa Arab yang sebelum ini diiktiraf oleh undang-undang sebagai bahasa rasmi kini telah diturunkan taraf. Kaum minoriti yang selama ini telahpun dilayan sebagai rakyat kelas kedua kini akan terus dipinggirkan dengan lebih teruk lagi.
Undang-undang tersebut juga secara unilateral mengisytiharkan “seluruh kota Baitulmaqdis” (Jerusalem) sebagai ibu kota negara Israel. Tindakan ini bukan sahaja bercanggah dengan segala konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang mengiktirafkan negara Palestin, malah melanggar prinsip keamanan dan kemanusiaan yang begitu penting untuk mengembalikan kestabilan di rantau tersebut.
DAP yang selama ini berpegang kepada prinsip kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan akan tetap menentang segala bentuk kezaliman dan perkauman tidak kira di Malaysia atau di mana-mana sahaja di dunia.
Justeru, kami menyeru kepada masyarakat antarabangsa untuk bersatu memberi tekanan kepada Israel agar memansuhkan undang-undang zalim dan bersifat perkauman tersebut serta memberi layanan yang saksama kepada kaum minoriti di negara itu.
LIM GUAN ENG