DAP Pulau Pinang meneruskan komitmen turun padang dan keterlibatan akar umbi melalui sesi temu bersama Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen (JPKP) Nibong Tebal bertempat di Persatuan Amal Chin Chee Kok, Nibong Tebal pada 25 Januari 2026 (Ahad).
Penyelaras JPKP Nibong Tebal, Saudara Jason H’ng telah menekankan sejarah panjang perjuangan kerusi Jawi sejak 1986 dan usaha akar umbi yang berjaya mengekalkan sokongan sehingga kini. Beliau menggesa jentera untuk terus mempertahankan kerusi Jawi dan membantu rakan-rakan di Sungai Bakap serta Sungai Acheh.
Dalam sesi tersebut, pelbagai isu dibangkitkan yang berkaitan dengan daerah Seberang Perai Selatan (SPS), khususnya banjir, bekalan air dan kesesakan lalu lintas.
Saudara Jason H’ng turut menjelaskan mengenai isu kenaikan cukai tanah di SPS yang berpunca daripada proses naik taraf kawasan daripada desa ke bandar, berdasarkan penggunaan tanah semasa. Penduduk disarankan merujuk terus kepada pejabat daerah dan tanah bagi maklumat serta semakan lanjut.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong telah menegaskan komitmen parti untuk “turun sendiri ke lapangan”, menyatakan bahawa ini merupakan lawatan ke-13 sejak penubuhan Jawatankuasa Negeri yang baharu.
Dalam ucapannya, beliau telah mengingatkan bahawa jatuh bangun politik harus dilihat dalam kapasiti kerja, bukan persepsi.
”Kerajaan Perpaduan komited sepenuhnya dalam menunaikan manifesto pilihan raya,” tegas beliau.
Kenyataan tersebut antara lain memperincikan komitmen kerajaan dalam memperkasakan kebajikan pekerja menerusi pelarasan gaji minimum dan sistem perlindungan sosial. Selain itu, fokus turut diberikan kepada penyaluran bantuan tambahan bagi sekolah Tamil dan Cina, penambahbaikan kriteria kemasukan ke peringkat STPM dan Matrikulasi, serta penyelesaian tuntas terhadap isu bekalan air di Nibong Tebal.
Sesi soal jawab turut menyentuh pelbagai perkara seperti insentif untuk peniaga, isu hasil perikanan, peruntukan kepada komuniti India di Nibong Tebal serta isu berkaitan permit perayaan.
Dalam sesi maklum balas, Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Saudara Zairil Khir Johari juga telah memaklumkan perkembangan pelbagai projek tebatan banjir, di samping projek-projek berkaitan perairan dan peningkatan kapasiti bekalan air.
Saudara Zairil Khir Johari turut mengumumkan bahawa projek-projek besar sedang berlangsung di SPS yang mencecah sehingga RM1 bilion.
Dalam masa yang sama, Saudara Daniel Gooi turut memaklumkan mengenai beberapa projek belia dan sukan yang telah diluluskan, di samping pemantauan berkaitan Klinik Kesihatan Bandar Tasek Mutiara, beberapa klinik desa, serta keperluan penambahbaikan Hospital Sungai Bakap.
Mengakhiri sesi, Saudara Steven menyeru perpaduan politik dalaman sebagai syarat menghadapi musuh politik dalam pilihan raya akan datang. “Kalau nak lawan dalam pilihan raya, semua kena bersatu. Jangan gaduh sesama sendiri. Nak gaduh, gaduh dengan musuh politik.”
Sesi dialog tersebut juga diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow, yang turut meluangkan masa untuk makan malam serta beramah mesra bersama para ahli.