Pengerusi DAP Pulau Pinang, Sdr Steven Sim Chee Keong telah mengetuai delegasi Jawatankuasa Negeri dalam satu lawatan hormat ke Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Pulau Pinang baru-baru ini.
Delegasi tersebut telah bertemu dengan Konsul Jeneral, Encik Zhou Youbin serta pegawai-pegawai beliau bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, kebudayaan, pelancongan dan tadbir urus.
Dalam sesi pertemuan tersebut, Sdr Steven Sim yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menegaskan bahawa ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia–China pada tahun lalu merupakan satu detik bersejarah yang membuka ruang baharu untuk memperkukuh kerjasama kedua-dua negara, khususnya melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau turut menekankan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama pembuatan berteknologi tinggi dan perusahaan kecil dan sederhana.
Justeru, beliau menggalakkan agensi kerajaan dan sektor swasta untuk merebut peluang yang wujud susulan proses naik taraf struktur ekonomi China. Ini termasuk memperdalam kerjasama dalam penyelarasan industri, pemindahan kemahiran serta pengintegrasian pasaran bagi menghadapi cabaran global seperti proteksionisme dan ketidaktentuan luaran.
Seiring dengan pandangan tersebut, Konsul Jeneral Zhou Youbin turut melihat potensi besar kerjasama dalam sektor-sektor baharu yang sedang muncul seperti tenaga hijau, ekonomi digital, pembuatan pintar dan industri kreatif.
Kedua-dua pihak juga menilai semula pencapaian delegasi-delegasi dari wilayah Henan, Anhui dan Jiangsu ke wilayah Utara Semenanjung Malaysia sepanjang tahun 2024. Lawatan tersebut berjaya memudahkan beberapa projek pelaburan dan mencerminkan peningkatan kerjasama serantau yang positif.
Konsul Jeneral Zhou Youbin seterusnya menegaskan bahawa Konsulat Jeneral China di Pulau Pinang memberi penekanan yang tinggi terhadap hubungan rapat dengan kerajaan di empat negeri utara Malaysia, serta bersedia untuk bekerjasama dalam memperdalam dan mengukuhkan kerjasama serta pertukaran subnasional antara China dan Malaysia.
Dalam kesempatan tersebut, Sdr Steven Sim turut merakamkan penghargaan kepada Konsul Jeneral Zhou Youbin atas sumbangan penting beliau dalam menyelaras dan mengukuhkan pelbagai projek kerjasama antara utara Malaysia dan China dalam bidang pendidikan, pelancongan, perdagangan dan pelaburan.
Ahli-ahli Jawatankuasa Negeri yang turut hadir dalam sesi ini ialah Lim Siew Khim, Teh Lai Heng, Soon Lip Chee, Rachel Teh Chuann Yien, Foo Yu Keong, Ooi Yong Wooi, Lee Wei Seang, Ketua DAPSY Negeri Derick Chong dan Setiausaha Eksekutif Chris Lee Chun Kit.