Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang telah mengadakan sesi pertemuan bersama ahli-ahli parti di kawasan Parlimen Bagan. Sesi ini bertujuan untuk mendengar pandangan akar umbi serta mengukuhkan hubungan antara pimpinan DAP negeri dan ahli-ahli dari semua lapisan.
Antara isu yang dibangkitkan termasuklah pengurusan cawangan parti, pelaksanaan projek infrastruktur dan pembangunan ekonomi di kawasan Seberang Perai, khususnya di Bagan.
Penyelaras Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen Bagan merangkap Penasihat DAP, Sdr Lim Guan Eng, menyatakan bahawa kawasan Bagan sedang pesat membangun dan mempunyai potensi besar untuk terus dimajukan sebagai sebuah pusat tumpuan ekonomi.
Ketika ini, beberapa projek mega sedang dilaksanakan di kawasan Bagan, antaranya Lebuhraya Juru–Sungai Dua bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, serta projek-projek tebatan banjir yang mampu mengurangkan risiko banjir kilat.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Sdr Steven Sim mengatakan bahawa dalam tempoh 100 hari selepas pembentukan Jawatankuasa Negeri yang baharu, pimpinan negeri telah giat menjalankan sesi libat urus bersama ahli-ahli parti dan wakil masyarakat setempat.
Selain menggerakkan misi bantuan banjir ke Kedah, Kelantan, dan Terengganu, pasukan DAP Pulau Pinang turut bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isuisu berkaitan tanah di Batu Kawan, serta menambah satu lagi kuota pelantikan Ahli Majlis MBPP bagi mewakili komuniti India.
Turut dimaklumkan, seramai lima wakil dari Pulau Pinang telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP. Mereka akan memastikan suara dan cadangan ahli-ahli tempatan disampaikan ke peringkat kepimpinan pusat.
Ahli Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang yang turut hadir termasuk Sdr Steven Sim, Sdr Zairil Khir Johari, Sdr Phee Boon Chee, Sdr Soon Lip Chee, Sdri Phee Syn Tze dan Sdr Foo Yu Keong.
Turut hadir ialah Penyelaras Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen Bagan, Sdr Lim Guan Eng, ADUN Bagan Jermal, Sdr Chee Yeeh Keen; ADUN Bagan Dalam, Sdr Kumaran Krishnan; Senator Pulau Pinang; Sdr Lingeshwaran; serta Ketua DAPSY Pulau Pinang, Sdr Derick Chong.
Ini merupakan sesi libat urus pertama bagi tahun 2025. Pada tahun lalu, sebanyak lima sesi telah diadakan, melibatkan wakil dari lebih lima kawasan parlimen termasuk komuniti India—sekali gus memperkukuh hubungan dan komunikasi antara pimpinan serta ahli-ahli DAP Pulau Pinang.