Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang telah mengadakan sesi pertemuan bersama ahli-ahli parti di kawasan Parlimen Bukit Bendera pada 20 Jun 2025 (Jumaat). Sesi ini adalah sebahagian daripada usaha pimpinan negeri untuk berjumpa dan mendengar pandangan akar umbi sejak penubuhan Jawatankuasa Negeri yang baharu.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Sdr Steven Sim menekankan bahawa suara akar umbi perlu didengari dan setiap pandangan harus diberi perhatian serius. Beliau turut menegaskan bahawa sejak awal, DAP berpegang kepada prinsip mendampingi rakyat, memahami keperluan mereka, dan mencari penyelesaian yang adil serta menyeluruh.
Antara isu yang dibincangkan dalam sesi ini termasuklah masalah penjaja tanpa lesen, perkhidmatan ADUN di kawasan, kerosakan kemudahan rekreasi di Gurney Bay, serta pelaksanaan dasar diskaun 5% pembelian unit hartanah siap tidak terjual. Ahli-ahli parti telah menyuarakan pandangan mereka secara terbuka, dan semua isu telah diberi perhatian oleh pimpinan negeri.
Penyelaras Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen Bukit Bendera merangkap Ahli Parlimen, YB Syerleena Abdul Rashid menyifatkan sesi ini sebagai ruang selamat (safe space) bagi semua ahli parti untuk menyuarakan pandangan tanpa mengira latar belakang. Beliau menekankan bahawa perbezaan kaum dan agama tidak harus menjadi halangan untuk bersama membina Malaysia yang adil dan harmoni.
Sdr Steven Sim turut menegaskan bahawa walaupun tiada kerajaan yang sempurna, DAP kekal berpegang pada prinsip tanggungjawab. Sebarang kelemahan perlu dikenal pasti dan diperbetulkan segera. Beliau juga menegaskan komitmen DAP dalam mempertahankan prinsip kepelbagaian kaum dan memastikan semua rakyat dijaga secara adil tanpa mengira kaum atau agama.
Ahli Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang yang turut hadir ialah Sdr Zairil Khir Johari, Sdr Phee Boon Chee, Sdr Teh Lai Heng, Sdr Soon Lip Chee, Sdr Joshua Woo Sze Zeng, Sdr Daniel Gooi Zi Sen dan Sdr Lee Wei Seang. Setiausaha Eksekutif DAP Pulau Pinang Sdr Lee Chun Kit juga hadir bersama.
Sesi ini adalah sebahagian daripada siri jelajah DAP Pulau Pinang yang berterusan bagi memperkukuh komunikasi dan perpaduan antara pimpinan dan akar umbi. DAP Pulau Pinang komited untuk terus membawa suara akar umbi ke peringkat tertinggi parti.