Kenyataan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (MMK)
Di Komtar, George Town, Pada 16 Ogos 2017
________________________________________________________________
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (MMK) dalam mesyuarat hari ini meluluskan permohonan khas Ahli MMK Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, YB Phee Boon Poh yang diberikan cuti sakit oleh doktor sehingga
21 Ogos 2017, untuk sembuh daripada pengalaman direman secara haram selama 3 hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
YB Phee akan kembali bertugas selepas cuti sakit itu dan akan menjelaskan isu kilang haram di Sungai Lembu yang didakwa dibenarkan beroperasi lebih 10 tahun. Kilang haram itu terletak 1 kilometer daripada kawasan penempatan penduduk, yang melebihi zon penampan (buffer zone) industri berat sebanyak 500 meter.
MMK mengulangi pendirian bahawa MMK percaya YB Phee tidak terlibat dalam amalan rasuah bagi kes ini, baik dalam menerima suapan ataupun mempunyai kepentingan ataupun mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemilik-pemilik kilang tersebut. YB Phee akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan SPRM menurut peruntukan undang-undang. Semua Ahli MMK bersedia untuk dipanggil oleh SPRM dan tidak akan mengelak, melarikan atau menyembunyikan diri, tidak seperti Jho Low sungguhpun Jho Low masih tidak disiasat pun oleh SPRM berkenaan skandal 1MDB.
YB Phee semata-mata menjalankan tugas sebagai Ahli MMK dengan melaksanakan dasar Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa semua bangunan, Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), struktur, penjaja dan kilang haram yang didirikan semasa pentadbiran Kerajaan BN sebelum 2008 dan “diwariskan” kepada Kerajaan Negeri Pakatan, tidak akan diambil tindakan serta-merta dengan tindakan perobohan, kecuali ianya menghalang aliran trafik yang lancar atau merupakan gangguan kepada orang awam. Pendekatan ini dipakai untuk mencari penyelesaian yang baik; “menang-menang” untuk semua pihak dan atas dasar perikemanusiaan menerusi proses pemutihan, dipindahkan kepada tempat baru ataupun dibuka/ dirobohkan dengan sendiri. Hanya struktur dan penjaja haram yang didirikan selepas 2008 akan diambil tindakan, itupun dengan cara berperikemanusiaan.
Dasar ini diharapkan dapat membekukan pembinaan bangunan, struktur, penjaja, kilang haram dan menghindarkan ianya tumbuh tanpa kawalan bak cendawan selepas hujan. MMK kesal bahawa dasar ini sememangnya telah dipolitikkan oleh BN dan PAS, tetapi mereka enggan menyatakan pendirian ke atas dasar ini. Sekiranya mereka menentang dasar Kerajaan Negeri ini dan beria-ia mahukan tindakan penguatkuasaan dan perobohan dijalankan dengan segera ke atas bangunan, RIBI, struktur, penjaja dan kilang haram, adakah mereka bersedia untuk bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kesan, implikasi sosial dan impak negatif ke atas puluhan ribu kes-kes yang terjejas? Perlu ditanyakan kepada BN mengapa pula mereka tidak mengambil tindakan ke atas kilang haram berkenaan ketika mereka berkuasa sebelum 2008?
Kerajaan Negeri akan meneruskan dasar untuk mencari penyelesaian baik ke atas bangunan, RIBI, struktur, penjaja dan kilang haram era Kerajaan Negeri BN yang “diwariskan” kepada Kerajaan Negeri Pakatan sebelum 2008. Sekiranya SPRM menganggap dasar Kerajaan Negeri ini tidak betul dan melanggar undang-undang, maka Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan segera ke atas perobohan puluhan ribu yang haram. Sehingga MMK mendapat pencerahan daripada SPRM, dasar Kerajaan Negeri akan dikekalkan iaitu untuk tidak bertindak dalam tempoh peralihan yakni tidak mengambil tindakan ke atas puluhan ribu bangunan, RIBI, struktur, penjaja dan kilang haram. Tindakan akan diambil ke atas bangunan dan struktur haram yang enggan menyertai proses pemutihan ataupun memohon kelulusan.
LIM GUAN ENG