Kenyataan Hadi tidak sumbang apa-apa kepada usaha memupuk perpaduan kaum semasa musim Merdeka: ADUN Syerleena

Kenyataan media oleh ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid pada 26 Ogos 2022, di George Town, Pulau Pinang:

Daripada menjadi tikus membaiki labu, lebih baik Haji Hadi diam sahaja

Dakwaan presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang kononnya orang bukan-Islam dan bukan-Bumiputera adalah ‘majoriti perosak politik dan ekonomi’ negara bukan sahaja tidak berasas dan dangkal, malah jelas berniat jahat serta menginjak-injak martabat anak bangsa negara ini secara keseluruhannya. Apatah lagi di musim seluruh negara sedang bersiap meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Hadi dilaporkan portal FMT pada 20 Ogos lalu sebagai berkata (antara lain):

“Begitulah juga dengan usaha menangani penyakit rasuah, ia wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbinya. Khususnya, terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram.

“Sehinggakan, dalam kalangan mereka itulah yang menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman. Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan Bumiputera.”

Presiden PAS ini tidak wajar dibiarkan mengeluarkan kenyataan sesuka hati beliau, tanpa mengambil masa untuk berfikir sejenak tentang kesan dan akibat daripada ayat-ayat yang keluar dari antara dua bibirnya, atau yang dituliskannya.

Kita pastinya masih ingat bagaimana ‘Amanat Haji Hadi’ yang disampaikan di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada April 1981; telah mencetuskan perpecahan bukan setakat dalam kalangan masyarakat umum, malah sesama ahli keluarga pada ketika itu. Ia tidak boleh dibiarkan berulang lagi.

Oleh yang demikian suatu laporan polis telah dibuat terhadap beliau, supaya siasatan dilakukan di bawah Seksyen 499 dan 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kenyataan Haji Hadi adalah suatu fitnah jenayah serta boleh mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian serta keamanan awam.

Kenyataan Haji Hadi tidak menyumbang apa-apa kepada usaha memupuk perpaduan kaum di negara ini, malah mengundang lebih banyak masalah serta menyemai kebencian dan syakwasangka. Sebagai seorang presiden parti politik yang menganggotai kerajaan hari ini, Hadi sepatutnya sedar bahawa beliau perlu lebih bersukat dalam mengeluarkan kenyataan, kerana kerajaan yang dianggotai partinya adalah kerajaan yang perlu melayani seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Jika Hadi tidak boleh membantu usaha membina perpaduan, adalah baik sekiranya Hadi mendiamkan diri dan mengelak daripada menjadi tikus membaiki labu.

SYERLEENA ABD RASHID
ADUN SERI DELIMA
AHLI JAWATANKUASA KEBANGSAAN WANITA DAP
PENOLONG SETIAUSAHA PUBLISITI DAP PULAU PINANG

Scroll to Top