Kenyataan Akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada 3 Ogos 2017 di Kuala Lumpur.

Abdul Rahman Dahlan Sangat Terdesak Dan Cemburu Dengan Kejayaan Luar Biasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang Sebagai Satu-Satunya Negeri Di Malaysia Yang Mempunyai Bayaran Tunggakan Hutang Sifar Yang Mana Beliau Cuba Mengambil Kredit Bahawa Kerajaan Persekutuan Yang Bertanggungjawab Dalam Usaha Pengurangan Hutang Negeri Pulau Pinang Berkaitan.

 

Datuk Abdul Rahman Dahlan tidak layak untuk menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri bukan hanya kerana beliau seorang pengecut apabila tidak berani untuk berdebat dengan saya, malah kini amat terdesak dan sangat cemburu dengan kejayaan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Abdul Rahman Dahlan sangat terdesak dan amat cemburu dengan kejayaan luar biasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai bayaran tunggakan hutang sifar, yang mana beliau cuba mendapatkan kredit bahawa Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab ke atas pengurangan hutang negeri tersebut.

 

Adakah Abdul Rahman berasa sangat iri hati kerana kejayaan Pulau Pinang dalam pengurangan hutang dan tunggakan bayaran hutang sifar ini tidak dapat diikuti oleh Kerajaan Persekutuan, yang menyaksikan kenaikan sebanyak RM147 bilion dalam tempoh 5 tahun daripada RM501.6 bilion pada tahun 2012 kepada RM648.5 bilion pada tahun 2016? Hutang Kerajaan Persekutuan mungkin akan melebihi RM800 bilion sekiranya liabiliti luar jangka dalam bentuk jaminan dan surat sokongan Kerajaan Persekutuan turut dimasukkan.

 

Sebaliknya dalam tempoh sama, Pulau Pinang telah mengurangkan hutang negeri sebanyak 90% kepada RM65 juta pada hujung tahun 2016, terendah di antara semua negeri di negara ini. Hutang Negeri Pahang adalah yang tertinggi iaitu RM3 bilion, diikuti Sabah dan Sarawak sebanyak RM2.6 bilion, Kedah RM2.3 bilion dan Kelantan RM1.4 bilion, sekaligus menjadi antara 5 negeri yang mempunyai hutang tertinggi di Malaysia.

 

Betapa cemburunya Abdul Rahman terhadap Pulau Pinang, oleh kerana itulah beliau mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya membatalkan perjanjian penstrukturan semula air yang ditandatangani pada tahun 2011. Abdul Rahman mendakwa bahawa pengurangan hutang itu hanya dapat dilakukan kerana Kerajaan Persekutuan telah mengubah hutang air sedia ada sebanyak RM655.24 juta kepada bayaran ansuran sebanyak RM14.56 juta setahun selama 45 tahun oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

 

Abdul Rahman Dahlan lupa tentang 5 perkara penting yang beliau sengaja tinggalkan dan tidak ingin dinyatakan. Pertama, hutang air ini telah ditanggung oleh Kerajaan Negeri BN sebelum ini dan ia adalah adil untuk mengembalikan hutang air tersebut kepada Kerajaan Persekutuan BN. Kedua, hutang yang diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan ini bukannya dilakukan secara percuma, tetapi menerusi pertukaran aset air yang diserahkan oleh PBAPP, dan kini dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan.

 

Ketiga, perjanjian penstrukturan semula air, pengambilalihan hutang air dan penyerahan aset bukan hanya khusus kepada Pulau Pinang tetapi turut dipraktikkan kepada semua negeri lain. Keempat, perjanjian penstrukturan semula air ini adalah  melibatkan penyerahan hak oleh Kerajaan Negeri BN sebelum tahun 2008. Pada tahun 2005, terdapat pindaaan Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan “bekalan air dan perkhidmatan” daripada senarai Negeri kepada senarai bersama.

 

Kelima, yang paling penting kepada Abdul Rahman ialah Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang tidak mempunyai sebarang bayaran hutang tertunggak pada penghujung tahun 2016. Keadaan ini adalah jauh berbeza daripada negeri Pahang dan Kedah yang masing-masing mempunyai tunggakan tertinggi sebanyak RM1.087 bilion dan RM1.028 bilion. Sebagai tambahan, PBAPP juga telah menjelaskan semua bayaran ansuran penuh pada tepat tempoh masanya.

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP tidak mendapat sebarang bantuan daripada Kerajaan Persekutuan apabila semua bayaran hutang dibuat tepat pada masanya, ini jelas membuktikan bahawa tidak seperti negeri lain, Pulau Pinang mempunyai wang untuk berbuat demikian kerana negeri ini diuruskan dengan baik dengan lebihan belanjawan direkodkan sejak tahun 2008.

 

Abdul Rahman Dahlan sepatutnya tidak bersikap kebudak-budakan dan melontarkan sifat kecemburuan politik, dengan meminta Kerajaan Negeri  membatalkan perjanjian penstrukturan semula air melainkan beliau sanggup memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan melihat semula 5 perkara penting yang dinyatakan di atas.

 

Adakah Kerajaan Persekutuan akan membatalkan semua perjanjian penstrukturan semula air untuk semua negeri; mengembalikan aset air yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri; dan juga mencabar pindaan perlembagaan yang diluluskan oleh Parlimen Persekutuan dan semua Dewan Undangan Negeri untuk membatalkan pindaan Perlembagaan Persekutuan 2005 dan mengembalikan semula kuasa “bekalan air dan perkhidmatan” ke Senarai Negeri?

 

LIM GUAN ENG

Scroll to Top
Scroll to Top