Program Penghargaan Warga Emas Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah diperkenalkan sejak tahun 2009 untuk memberi penghargaan, pengiktirafan dan penghormatan kepada semua warga emas negeri tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Sejak program ini diperkenalkan, semua rakyat
Pulau Pinang yang merupakan pengundi negeri ini dan berusia lebih 60 tahun layak untuk menerima sumbangan tersebut. Setakat tahun 2017, seramai 167,489 orang warga emas telah menerima manfaat daripada program ini.
Dalam Belanjawan Marhaen 2018, Kerajaan Negeri telah menaikkan bayaran sebanyak RM30 iaitu daripada RM100 kepada RM130 bermula pada tahun ini. Bagi pembayaran Program Penghargaan Warga Emas Fasa 1 Tahun 2018, seramai 174,247 orang akan menerima RM130 ini dan melibatkan kos sebanyak RM22,652,110. Kenaikan daripada RM100 kepada RM130 ini ialah sebagai pengiktirafan kejayaan urus tadbir CAT dalam meneruskan dividen ‘anti-rasuah’ kepada rakyat Pulau Pinang, khususnya warga emas.
Hasilnya ialah Pulau Pinang telah mencatatkan lebihan Belanjawan sebanyak RM89.2 juta seperti mana yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 baru-baru ini. Ini bermakna keuntungan Kerajaan Negeri secara terkumpul sejak 2008 adalah RM667 juta berbanding dengan RM105.7 juta untuk tempoh 9 tahun yang sama sebelum 2008. Jumlah RM667 juta adalah lebih daripada jumlah RM373 juta oleh Kerajaan Negeri lama selama 50 tahun dari 1957 hingga 2007. Hutang negeri telah berjaya dikurangkan sebanyak 90% kepada RM68 juta pada akhir 2016, iaitu jumlah hutang paling rendah di Malaysia.
Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan beberapa dasar baharu dalam Belanjawan Marhaen 2018 yang bertujuan meringankan beban kewangan rakyat di Pulau Pinang seperti berikut:
(i) Kad pintar “I-Love-Penang” untuk pelbagai kemudahan dan faedah sosial Negeri Pulau Pinang.
(ii) RM60 juta di bawah Program Penang Sihat untuk isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 sebulan. RM300 setahun akan dikreditkan ke dalam kad
“I-Love-Penang” untuk membayar yuran perkhidmatan (RM50 setiap lawatan) di klinik swasta. Individu yang tidak berkahwin dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan akan mendapat kredit RM150 setahun.
(iii) RM15 juta bantuan penjagaan anak untuk ibu berkerjaya. Semua ibu berkerjaya sehingga usia 60 tahun dengan seorang anak yang berusia enam (6) tahun akan dibayar insentif tunai sebanyak RM300 setahun.
Kerajaan Negeri bersyukur atas sokongan rakyat yang teguh ke atas pentadbiran bersih berasaskan CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang diberi pujian oleh Transparency International dan Ketua Audit Negara saban tahun.
Sekian, terima kasih.
Yang ikhlas,
LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang