Kementerian Pengangkutan tidak terima kertas cadangan pembinaan lapangan terbang baru di Pulau Pinang

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN TIDAK PERNAH MENERIMA SEBARANG KERTAS CADANGAN PEMBINAAN LAPANGAN TERBANG BARU DI PULAU PINANG

Kementerian Pengangkutan ingin merujuk kepada beberapa berita yang disiarkan hari ini mengenai dua tawaran cadangan pembinaan lapangan terbang baru di Pulau Pinang.

Kementerian Pengangkutan ingin menegaskan bahawa Kementerian ini tidak pernah dimaklumkan mengenai cadangan-cadangan ini, tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan mengenainya dan tidak pernah menerima sebarang kertas cadangan untuk membina 2 lapangan terbang baru tersebut.

Kuasa untuk menubuhkan atau menyenggarakan sesuatu aerodrom atau membenarkan mana-mana syarikat yang mempunyai lesen untuk menubuhkan, menyenggarakan dan mengendalikan sesuatu aerodrom adalah merupakan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Pengangkutan di bawah Akta Penerbangan Awam 1969 [Akta 3].

Kementerian Pengangkutan juga menggesa pihak media supaya tidak membuat sebarang laporan spekulasi berhubungan dengan pembinaan lapangan terbang tanpa pengesahan daripada pihak Kementerian.

Kementerian Pengangkutan pada masa ini sedang merancang untuk menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang sedia ada di Bayan Lepas.

Kementerian Pengangkutan
10 Jun 2019

Berasal dari kemas kini pada laman Facebook Ketua Menteri Pulau Pinang, Sdr Chow Kon Yeow:
https://www.facebook.com/ChowKonYeow/posts/10157391207169169

Scroll to Top
Scroll to Top