Sat. Oct 10th, 2026

Semalam saya telah berbincang dengan YB Dato’ Sri Reezal Merican, Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, serta Saudara Lay Hock Peng, Pegawai Penyelaras Kepada Ketua Menteri di Kepala Batas merangkap Penolong Bendahari DAP Pulau Pinang berkaitan insiden Jalur Gemilang yang digantung terbalik di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Kami bersetuju untuk menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada Polis Diraja Malaysia agar ia dapat ditangani mengikut undang-undang dan prosedur yang sewajarnya.

Saya juga telah berbincang dengan YB Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri Dalam Negeri untuk memastikan tiada ruang bagi mana-mana pihak melakukan tindakan yang melanggar undang-undang berkaitan insiden ini.

Di negeri Pulau Pinang, kita mengutamakan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama. Cara Pulau Pinang menangani sesuatu isu adalah melalui proses perundangan dan dialog yang membina, bukannya melalui kecaman melampau dan provokasi sentimen perkauman.

Marilah kita mengambil iktibar daripada kejadian ini dan bergerak ke hadapan untuk meraikan Hari Kebangsaan dengan semangat perpaduan, saling memahami, dan kasih sayang kepada tanah air tercinta.

Steven Sim Chee Keong
Pengerusi DAP Pulau Pinang