Sun. Jul 21st, 2024

Tuduhan Mustapha Yaakub, Setiausaha Veteran UMNO bahawa DAP gagal mendekati pengundi Cina mengakibatkan kekalahan PH dalam PRK Sungai Bakap adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

Semua parti komponen Kerajaan Perpaduan PH telah bertungkus-lumus dan memberikan sokongan padu kepada calon PH dalam PRK ini. Tidak kurang pemimpin-pemimpin DAP turun berkempen ke Sungai Bakap untuk membantu tanpa lelah sepanjang tempoh kempen.

Namun, keputusan PRK Sungai Bakap telah menunjukkan pilihan pengundi Sungai Bakap. Kita harus menerima dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pengundi dan terus berusaha membawa perubahan yang baik serta meyakinkan rakyat, dan bukannya membuat tuduhan dan menyalahkan mana-mana pihak.

Gelombang perubahan yang sedang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan pada masa ini dilihat sukar diterima dan mengakibatkan rakyat hilang keyakinan terhadap Kerajaan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Perpaduan tetap akan memperhebatkan usaha membela nasib rakyat, melaksanakan dasar demi manfaat rakyat agar semuanya dapat merasai pembaharuan yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan.

Kerajaan Perpaduan juga akan menggandakan usaha dan mendengar suara akar umbi supaya dapat tingkatkan perkhidmatan kepada rakyat bagi mendapatkan semula keyakinan dan sokongan rakyat.

H’NG MOOI LYE
Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang