Sun. Jul 21st, 2024

Kenyataan media oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid pada hari Khamis 14 Mac 2024 di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur

Jangan sekadar boikot kurma Israel, promosi juga industri kurma Malaysia

April dua tahun lalu, Berita Harian menerbitkan laporan tentang bagaimana pokok dan kurma yang dihasilkan di Malaysia begitu subur sekali, malah berbuah lebat di bulan Ramadan (https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/lain-lain/2022/04/947035/kurma-selinsing-kelantan-berbuah-lebat-di-bulan-ramadan )

Saya teringat tentang laporan ini, di tengah kekecohan mengenai kurma yang diimport dari Israel.

Malaysia mengimport kurma sebanyak RM267.8 juta pada tahun 2023. Sebagai negara yang mempunyai populasi umat Islam seramai 64%, dan juga sebuah negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC); saya harus membangkitkan persoalan tentang perancangan kerajaan tentang industri kurma tanah air, kalau pun ia boleh dipanggil sebuah industri.

Tapi, ya lah. Kenapa tidak?

Kurma, sebagai makanan sunnah yang menjadi tumpuan di bulan Ramadan yang mulia ini, seharusnya diusahakan sebagai sebuah industri pertanian secara besar-besaran, paling tidak pun untuk memenuhi keperluan tempatan; agar kita tidak lagi perlu bergantung kepada kurma import dari negara Arab selain keluar dari keraguan memakan kurma buatan Israel secara tidak sedar

Justeru itu, mengapakah sehingga hari ini kerajaan Malaysia tidak memberi tumpuan kepada potensi penghasilan kurma buatan tempatan?

Kerajaan seharusnya mencari jalan untuk mempergiat perusahaan kurma tempatan, dan turut berusaha untuk mengeksportnya ke negara-negara Islam di seluruh dunia. Ia tentu sekali akan memberikan hasil melimpah termasuk peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Justeru itu saya ingin bertanya sama ada kerajaan berhasrat untuk membangunkan industri kurma tempatan?

Tentu sekali daripada hanya memboikot barangan luar, kita seharusnya juga berusaha untuk mempromosikan produk pertanian tempatan kerana ia akan juga memanfaatkan pekerja-pekerja tempatan sambil membuka ruang dan peluang pekerjaan yang lebih banyak.

SYERLEENA ABDUL RASHID
AHLI PARLIMEN BUKIT BENDERA