Kenyataan Media oleh Connie Tan Hooi Peng, Setiausaha Publisiti Wanita DAP Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Seri Delima, pada 11 Jun 2025 di George Town, Pulau Pinang:
Ahli Parlimen PAS Jangan Jadikan Tragedi Sebagai Alasan untuk Menyekat Kemajuan Pulau Pinang
Saya memandang serius dan kecewa terhadap kenyataan Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Mohamad Fawwaz, yang menyeru kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang dan mengalihkan sumber kepada kerja-kerja menaik taraf jalan dari Gerik ke Jeli di Perak. Kenyataan ini bukan sahaja bertentangan dengan harapan rakyat Pulau Pinang yang telah lama menantikan penambahbaikan sistem pengangkutan awam, malah mendedahkan kekeliruan beliau terhadap keperluan pembangunan wilayah serta logik tadbir urus yang seimbang.
Projek LRT Pulau Pinang merupakan inisiatif pembangunan penting hasil usaha bertahun-tahun antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan kesesakan lalu lintas, meningkatkan sistem pengangkutan awam, dan menyokong pembangunan mampan serta mesra alam. Menteri Pengangkutan baru-baru ini telah mengesahkan bahawa perkara berkaitan projek ini telah diselesaikan dan kerja-kerja asas, termasuk pembinaan cerucuk, bakal dimulakan dalam masa terdekat. Ini merupakan perkembangan yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat Pulau Pinang.
Namun begitu, apabila projek ini akhirnya menunjukkan kemajuan positif, PAS tampil menggunakan tragedi kemalangan di Perak sebagai alasan untuk menghentikan pembangunan penting di Pulau Pinang. Menjadikan tragedi sebagai alasan untuk menolak harapan adalah satu pendekatan yang tidak bertanggungjawab dan langsung tidak berlandaskan logik. Projek menaik taraf jalan di Perak dan pembinaan sistem LRT di Pulau Pinang adalah dua perkara yang berbeza dari segi lokasi, keperluan, fungsi serta sumber peruntukan. Menyamaratakan dua jenis projek ini hanya akan mengelirukan rakyat dan mencetuskan perpecahan yang tidak perlu.
Kami juga bersimpati dengan tragedi yang berlaku di Perak dan menyokong usaha kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan penguatkuasaan di kawasan berisiko tinggi. Namun, ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengorbankan pembangunan infrastruktur penting di negeri lain. Jika semua projek infrastruktur dihentikan setiap kali berlaku tragedi di mana-mana, maka pembangunan negara akan lumpuh sepenuhnya.
Sebagai seorang Ahli Parlimen dari Pulau Pinang, Mohamad Fawwaz seharusnya lebih memahami keperluan rakyat negeri ini terhadap sistem pengangkutan yang lebih cekap. Malangnya, kenyataan beliau langsung tidak membawa penyelesaian dan hanya mengganggu kemajuan negeri. Ini jelas satu bentuk manipulasi politik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.
Apa yang diperlukan oleh Pulau Pinang ialah kepimpinan yang berwawasan dan keupayaan pelaksanaan yang konsisten. Projek LRT merupakan elemen penting dalam transformasi pengangkutan awam negeri. Kita mesti terus melaksanakan projek ini tanpa gangguan demi memastikan kemajuan Pulau Pinang dalam aspek mobiliti, ekonomi, dan tadbir urus bandar tidak tergendala.
Connie Tan Hooi Peng
Setiausaha Publisiti Wanita DAP Negeri Pulau Pinang
Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima