Jabatan Alam Sekitar Telah Menyatakan Bahawa Tiada Pencemaran Dari Kilang Perusahaan Habuk Kayu Yang Tidak Berlesen Di Sungai Lembu

Kenyataan Akhbar oleh EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh di Komtar, George Town pada 23.8.2017

Jabatan Alam Sekitar Telah Menyatakan Bahawa Tiada Pencemaran Dari Kilang Perusahaan Habuk Kayu Yang Tidak Berlesen Di Sungai Lembu

Saya kesal dengan akhbar-akhbar media kawalan BN termasuk akhbar Bahasa Cina, yang enggan memberi keutamaan yang sama kepada sidang media saya seperti mana yang mereka lakukan terhadap penahanan salah saya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung 2 pucuk surat yang telah dikeluarkan oleh saya, bermula 3 Mac 2015. Saya telah dedahkan minit mesyuarat yang telah diadakan di Majlis Perbandaran Seberang Perai pada 6 Mei 2015 berhubung kilang perusahaan habuk kayu tidak berlesen di Sungai Lembu, selepas mendapat kelulusan daripada Mesyuarat EXCO Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semalam.

Dalam mesyuarat tersebut, Jabatan Alam Sekitar telah menyatakan bahawa tiada pencemaran daripada kilang perusahaan habuk kayu yang tidak berlesen di Sungai Lembu. Saya merujuk kepada mesyuarat pada 6 Mei 2015, kerana ia berkaitan dengan surat yang telah saya keluarkan pada 3 Mac 2015. Saya mesti menyatakan bahawa kilang tersebut terletak 1 kilometer daripada kawasan kampung, sedangkan zon penampan (buffer zone) untuk industri berat adalah 500 meter. Saya memetik minit mesyuarat tersebut seperti berikut:

“Mesyuarat berhubung kes aduan terhadap Kilang Perusahaan Habuk Kayu di Lot 894, Jalan Sungai Lembu, Bukit Mertajam telah diadakan pada 6 Mei 2015 di Bilik Mesyuarat Cempaka, Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bandar Perda. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Setiausaha Perbandaran MPSP ketika itu iaitu Dato’ Sr Haji Rozali bin Mohamud dan dihadiri oleh YB Phee Booh Poh (EXCO), YB Dr Norlela Ariffin (ADUN) dan Pegawai Kawalan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Wakil Jabatan Alam Sekitar memaklumkan bahawa :

 

  1. i) Lawatan Jabatan Alam Sekitar ke kilang berkenaan mendapati tiada pencemaran kerana terdapat tirai/penghadang di bahagian atas yang menghalang daripada asap/habuk tetapi kilang ini tidak mempunyai lesen

 

  1. ii) Jabatan Alam Sekitar boleh menyokong pengoperasian kilang ini sekiranya aktiviti pembakaran habuk kayu dibuat secara tertutup dan memastikan alat kawalan keselamatan digunakan. Keperluan ini telah pun dimaklumkan kepada pengusaha kilang supaya mematuhi keperluan di bawah kawalan alam sekitar

 

iii) Selain itu, pengusaha kilang perlu mendapat lesen daripada MPSP dan pihak Jabatan Alam Sekitar akan melihat syarat-syarat lain yang berkaitan seperti pelaksanaan proses di kilang berkenaan dan kesesuaian tapak mematuhi syarat yang ditetapkan.”

 

Tindakan terhadap saya adalah konspirasi politik jahat terhadap saya dan juga Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Saya mengulangi sekali lagi bahawa saya bersih dan bebas daripada rasuah. Saya tidak mengambil apa-apa wang daripada kilang perusahaan habuk kayu yang tidak berlesen di Sungai Lembu. Malah, saya dan keluarga tidak mempunyai kepentingan peribadi di kilang tersebut dan pemilik kilang tersebut juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan saya.

Saya berkhidmat untuk rakyat Pulau Pinang dengan jujur, dalam kapasiti saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli EXCO Negeri Pulau Pinang. Sebarang surat yang ditulis oleh saya dilaksanakan semasa saya menjalankan tugas sebagai ahli EXCO Pulau Pinang.

Saya bersetuju dengan Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa saya akan berhubung terus dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Lembu dan tidak bergantung kepada para ‘pengantara’, untuk mengelakkan salah faham. Kami akan bekerjasama dan berdiri bersama sebagai Kerajaan Negeri yang dipilih oleh rakyat, untuk mengikut dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dan garis panduan pelbagai jabatan teknikal.

 

PHEE BOON POH

Scroll to Top
Scroll to Top