Inisiatif ‘Top-Up Women Only Additional Seat’ cerminkan sistem demokrasi, adil: Pegawai khas Muhammad Shahrizul Muiz

INISIATIF TWOAS MENCERMINKAN SISTEM DEMOKRASI DAN ADIL
26hb Januari 2021

Berbicara mengenai politik atau isu semasa memerlukan suatu keazaman kuat dan teknikaliti pembacaan sumber yang banyak bagi membuat suatu justifikasi yang tepat dan setimpal, tetapi kebanyakan daripada mereka hanya bertindak sebagai pasukan sorak dengan sekadar membaca, melihat dan mendengar di laman-laman sosial atau di warung kedai kopi.

Khususnya di Pulau Pinang, apabila Kerajaan Negeri memperkenalkan suatu inisiatif ‘Top-Up Women Only Additional Seat (TWOAS)’ kita mendapati wakil wanita Parti Gerakan Pulau Pinang telah mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan inisiatif ini boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan menyekat sistem demokrasi.

Tuntutan yang dibuat oleh Sdri Heng tidak benar sama sekali. TWOAS tidak membuat cara perlantikan oleh Kerajaan Negeri seperti yang berlaku di Sabah, Terengganu dan khususnya di Pahang yang baru diluluskan di Dewan Undangan Negeri pada Disember 2020. Sebaliknya mengagihkan kerusi mengikut peratusan undi dalam Pilihan Raya Negeri, berbanding dengan sistem First-Past-The-Post (FPTP) yang merugikan parti-parti pembangkang.

Sistem TWOAS yang bermodelkan Perwakilan Berkadar dengan Senarai Parti (Party List-PR) akan membolehkan perwakilan yang lebih adil kepada parti pembangkang. Contohnya, jika keputusan PRN14 diulangi dalam PRN15, sekalipun PAS yang mendapat kurang daripada 10% undi akan menggandakan bilangan kerusinya daripada 1 kepada 2. Mengapa Gerakan sebagai parti pembangkang menolak jasa baik parti kerajaan untuk menambahkan perwakilan pembangkang di dalam Kerajaan Negeri? Adakah kerana Gerakan tidak ingin parti-parti BN dan PAS mendapat kerusi tambahan kerana peluang untuk mereka terlalu tipis?

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk bertanya soalan-soalan berikut kepada Sdri Heng:
1. Adakah saudari menolak matlamat 30% perwakilan wanita? Apabila terdapat lebih wanita daripada lelaki di universiti, tetapi kebanyakan pembuat keputusan adalah lelaki, adakah ini meritokrasi?

2. Adakah saudari juga menolak pencapaian matlamat 30% melalui kuota, yang sememangnya amalan lazim di kebanyakan negara?

3. Kerajaan negeri juga baru-baru ini menetapkan matlamat 30% untuk pengarah GLC di negeri Pulau Pinang dan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan, adakah saudari Heng ingin kerajaan negeri untuk membatalkan semua langkah ini?

4. Adakah saudari menerima semua kuota 30% lain tetapi menolak perlaksanaannya di DUN sahaja?

5. Adakah saudari merasakan kegagalan mencapai 30% adalah akibat meritokrasi, maksudnya wanita tidak dapat mencapai untuk menjadi calon kerana mereka tidak berkelayakan?

Malaysia telah menerima pakai dasar Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) sejak tahun 1995 lagi, tetapi kemajuan wanita dalam tahap pembuat keputusan dan politik masih lagi rendah dan usaha mesti dijalankan bagi mengatasi isu ini.

Mafhumnya, amat penting untuk meningkatkan perwakilan wanita daripada pelbagai latar belakang dalam peringkat pembuat keputusan untuk memastikan suatu dasar yang menyeluruh dapat digubal untuk kepentingan semua rakyat.

Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi YB Chong Eng (EXCO Pembangunan Sosial & Hal Ehwal Bukan Islam) telah mengambil suatu langkah yang berani dengan memperkenalkan inisiatif TWOAS bagi mencapai sasaran 30% penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan.

Lantikan ADUN wanita itu juga tidak memanfaatkan parti yang membentuk kerajaan negeri semata-mata seperti yang dituntut oleh Sdri Heng See Lin, malah ianya juga turut melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang secara adil kerana pelaksanaan TWOAS merupakan sistem demokrasi yang mencerminkan komposisi terkini parti politik di DUN iaitu berdasarkan peratusan undi yang diperoleh parti politik ketika pilihan raya umum.

Tambahan pula, setiap wanita yang dicalonkan bagi mewakili kerusi ini hanya dihadkan untuk 1 penggal sahaja, bagi penggal seterusnya orang yang sama tidak akan dibenarkan untuk mewakili kerusi ini lagi, malah terpulang kepada parti sama ada ingin mencalonkan wakil tersebut untuk pilihanraya akan datang. Sekiranya selepas Pilihan Raya Umum, kita masih mendapati kerusi wanita tidak mencapai 30% maka, pelantikan TWOAS yang baharu pula akan dibuat bagi memenuhi kuota tersebut.

Pelaksanaan TWOAS ini mampu mengubah budaya politik kita untuk beralih ke arah demokrasi yang lebih matang, di mana politik kepartian akhirnya dapat dibuka untuk perbahasan dan tindakan ke atas isu-isu penting, di peringkat dasar dan perancangan dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.

Kerajaan Pakatan Harapan dan Parti DAP percaya bahawa golongan wanita tidak kekurangan bakat dari segi politik bagi menyumbang idealisme mereka kepada negeri Pulau Pinang, tetapi pada masa yang sama juga kita harus akui dua masalah realistik yang dihadapi oleh semua parti, bukan hanya parti pemerintah dalam mencalonkan lebih banyak wanita, yang pertama adalah tiada kekosongan kerusi akibat daripada tidak ada ramai ADUN lelaki yang berbakat mencapai tempoh persaraan dan tidak semestinya seseorang calon wanita yang ingin diangkat menepati kehendak pengundi di kawasan yang terdapat kekosongan kerusi.

Keputusan YAB untuk membawa reformasi yang berwawasan ini ialah sebagai usaha untuk membantu semua parti demi mencungkil dan mengangkat peranan wanita dalam bidang politik. Tetapi, mengapa pemimpin wanita Parti Gerakan menolak kemajuan wanita dalam politik? Apakah terdapat kemunduran wanita dalam politik yang diperjuangkan oleh Gerakan?

Pendek kata, saya menyarankan Sdri Heng See Lin untuk beranikan diri serta tampil ke hadapan untuk berbincang dengan wakil Kerajaan Negeri bagi memahami konsep penuh mengenai inisiatif TWOAS yang diperkenalkan ini, sebelum membuat sebarang andaian yang boleh mengelirukan masyarakat, pada masa yang sama bercanggah dengan ideologi Parti Gerakan sendiri, iaitu Menyingkirkan halangan-halangan kesaksamaan dalam penglibatan dan membuat keputusan serta memajukan status politik wanita.

MUHAMMAD SHAHRIZUL MUIZ (ZUL)
PEGAWAI KHAS KEPADA YB CHONG ENG
PENGERUSI
DAP CAW. FETTES PARK

Scroll to Top
Scroll to Top