Hak kanak-kanak wajib dipertahan dengan menjenayahkan perkahwinan kanak-kanak. tanpa mengira kaum, agama atau latarbelakang sosioekonomi.

Baru-baru ini, negara Malaysia dikejutkan sekali lagi dengan satu insiden dimana seorang lelaki berumur 41tahun dikatakan telah mengahwini seorang budak perempuan yang berumur 11 tahun. Perkahwinan tersebut dipercayai berlaku di Thailand namun, samada ia berlaku didepan seorang Majistret Mahkamah Syariah atau tidak masih belum disahkan, dan jika ya samada ianya berlaku dengan satu keputusan bertulis atau tidak.

Apa-apa pun adalah tanggungjawab pihak ibubapa dan kerajaan untuk melindungi hak kanak-kanak perempuan dan lelaki untuk memastikan bahawa suara mereka kedengaran dan dinaungi.

Perkahwinan kanak-kanak di Malaysia bukanlah perkara baru dan setakat ini lebih berpuluh ribu kanak-kanak yang beragama Islam dan bukan Islam yang menjadi mangsa perkahwinan kanak-kanak, langsung menjejaskan masa depan mereka. Walaupun wujud undang-undang sivil dan syariah yang sedia ada, namun ada pelbagai kelemahan perundangan yang membenarkan si pemangsa memanipulasikannya mengikut nafsu terpesongnya dengan mengahwini seorang kanak-kanak.

Malaysia patut mencontohi negara-negara Islam yang lain yang telah membuat keputusan bersejarah dimana perkahwinan kanak-kanak dibawah 18 tahun tidak dibenarkan sama sekali tanpa apa-apa pengecualian. Negara-negara Mesir, Algeria dan Jordan telah menggubal undang-undang mereka untuk menyimenkan 18 sebagai umur minima untuk berkahwin.

Di Republik Afrika Tengah, Perkara 194 dalam undang-undang Civil Code (1988) menjenayahkan memaksa kanak-kanak untuk berkahwin dan Perkara 195 memperuntukan hukuman yang lebih berat sekiranya yang memaksa kanak-kanak tersebut ibubapa atau penjaga kanak-kanak tersebut.

Ethiopia juga menjenayahkan perkahwinan kanak-kanak bawah 18 tahun dengan hukuman penjara sehingga 7 tahun bergantung kepada umur kanak-kanak tersebut.

Jelas disini adalah keperluan satu rangka kerja yang berdasarkan perundangan dengan meletakkan kepentingan kenak-kanak diatas segalanya yang mempunyai impak yang tinggi terhadap pembangunan insaniah kanak-kanak.

Kerajaan harus meletakkan umur 18 sebagai umur sah, tidak kira untuk lelaki atau perempuan, tanpa mengira etnik atau agama tanpa apa-apa pengecualian atau kebenaran daripada ibubapa serta mahkamah atau ketua kerajaan dalam memutuskan jika seorang kanak-kanak layak untuk mendirikan rumahtangga atau tidak. Kedua untuk mengenalpasti perkahwinan kanak-kanak itu sebagai satu jenayah yang mempunyai impak dan implikasi terhadap masa depan kanak-kanak. Girls Not Brides satu rakan kongsi antarabangsa yang dianggotai lebih 900 NGO dan 95 negara yang komited untuk mengakhiri perkahwinan kanak-kanak dan untuk menonjolkan dan membolehkan kanak-kanak perempuan terutamanya untuk mencapai potensi mereka. Girls Not Brides juga mencadangkan supaya mana-mana kerajaan yang ingin memerangi perkahwinan kanak-kanak agar menubuhkan Mahkamah Kanak-kanak dan Unit Polis bagi Keselamatan Kanak-kanak, serta kordinasi diantara institusi hak asasi manusia seperti SUHAKAM, penubuhan Ombudsman untuk perlindungan kanak-kanak, penubuhan satu Suruhanjaya Kebangsaan Kanak-kanak yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan hak kanak-kanak dibela dan dipelihara dengan efektif.

Perkahwinan kanak-kanak di Malaysia merentasi agama, latarbelakang etnik, gender, umur serta latarbelakang ekonomi walaupun kelaziman perkahwinan kanak-kanak diluar bandar lebih tinggi daripada dikawasan bandar dan ini adalah masa yang tepat untuk menggubal dasar dan undang-undang untuk mengakhiri perkahwinan kanak-kanak.

Garispanduan hanyalah satu panduan dan bukan bersifat mengikat pemangsa yang mahu berkahwin dengan seorang kanak-kanak.

Hanya lunas undang-undang dan sistem sokongan NGO serta penyertaan masyarakat sejagat yang menetapkan apa itu salah atau sah disisi undang-undang dan pada masa yang sama perkahwinan kanak-kanak mesti dijenayahkan demi menjamin, memelihara dan melindungi hak kanak-kanak untuk masa depan yang cerah untuk golongan yang tidak dapat bersuara ini.

Adalah tanggungjawab moral kerajaan untuk tidak menjadi aksesori dan menyumbang kepada hakisan hak asasi kanak-kanak dan memartabatkan kanak-kanak daripada menjadi pengantin kepada kedudukan mereka sebagai generasi kanak-kanak perempuan dan lelaki yang akan menyuburkan tanahair kita ini dengan mencapai potensi penuh mereka.

Scroll to Top
Scroll to Top