Oleh Joshua Woo Sze Zeng (Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus, Pulau Pinang)
14 Julai 2025
Semasa saya adakan lawatan baru-baru ini ke pasar di kawasan saya, beberapa peniaga berkongsi perasaan mereka bahawa ekonomi negara sedang merosot dan kos sara hidup semakin meningkat.
Saya tidak mengambil hal ini dengan mudah, dan saya tidak sesekali menafikan cabaran yang dihadapi rakyat. Namun begitu, saya juga berkongsi beberapa petunjuk yang menunjukkan bahawa ekonomi kita sebenarnya sedang berkembang dengan lebih baik tanpa kita sedar.
Pada minggu lalu, saya ada berbual dengan CEO sebuah syarikat yang menguruskan rangkaian pusat beli-belah. Beliau memaklumkan bahawa jumlah pengunjung di premis mereka telah meningkat.
Trend ini bukan kes terpencil. IOI City Mall terus mencatatkan kadar penyewaan kukuh dan aliran pengunjung yang tinggi. Sunway Malls mencatatkan pertumbuhan 5% pada tahun 2024 dan menyasarkan momentum yang sama pada tahun ini. Pemain utama lain seperti Pavilion, The Gardens (IGB), dan KL Sentral pula sedang mengembangkan operasi mereka.
(Sumber: https://themalaysianreserve.com/2025/05/29/ioi-properties-stays-resilient-with-strong-investment-and-hospitality-growth, https://thesun.my/business-news/sunway-AO13841760, https://www.thestar.com.my/business/business-news/2025/07/11/expansion-by-reits-viewed-as-a-positive-factor)
Apabila pusat beli-belah menunjukkan prestasi yang baik, ini bermaksud jualan sedang meningkat, pengguna berbelanja, dan pelabur yakin terhadap pasaran.
Pertumbuhan ini turut dirasai dalam sektor Pelaburan Hartanah (REIT), yang sangat bergantung pada prestasi ruang runcit.
Selepas saya kongsikan fakta-fakta ini kepada para peniaga, mereka mula menilai semula pandangan mereka terhadap keadaan ekonomi.
Selain sektor REIT, saya percaya terdapat lima petunjuk ekonomi utama yang menunjukkan situasi semasa kita sebenarnya lebih positif.
1. Kadar OPR Lebih Rendah dan Inflasi Rendah
Kerajaan Madani telah menurunkan OPR kepada 2.75%. Apa kesannya kepada kita secara langsung?
Secara mudah, bayaran bulanan pinjaman sama ada pinjaman kenderaan, rumah, peribadi, atau perniagaan akan lebih rendah. Ini memberikan lebihan tunai kepada isi rumah dan syarikat setiap bulan.
Pada masa yang sama, kadar inflasi pada Mei 2025 mencatatkan hanya 1.2%, terendah dalam tempoh empat tahun.
Dengan wang tunai lebih banyak dalam tangan dan inflasi yang stabil serta rendah, kuasa beli pasaran telah bertambah kukuh. MIDF Research turut mengesahkan bahawa isi rumah adalah antara pihak yang paling mendapat manfaat ketika ini.
Impaknya, sektor runcit, automotif, hospitaliti, pelancongan, dan pembangunan hartanah dijangka meraih keuntungan besar.
2. Kadar Pekerjaan Tertinggi dalam Sedekad
Keduanya, kadar pengangguran kini pada tahap paling rendah dalam tempoh 10 tahun, hanya 3% pada April 2025.
Ini bukan sekadar trend dalam satu sektor. Jabatan Perangkaan melaporkan peningkatan pekerjaan dalam semua sektor, termasuklah pembuatan, pembinaan, pertanian, perlombongan dan perkhidmatan.
Trend pekerjaan tinggi yang konsisten ini secara langsung menyumbang kepada kekuatan keselamatan kewangan isi rumah. Apabila lebih ramai keluarga mempunyai pendapatan yang stabil sekali gus memperkukuhkan struktur sosial dan ekonomi negara.
(Sumber: https://www.thestar.com.my/news/nation/2025/06/12/unemployment-rate-at-10-year-low)
3. Malaysia Hab IPO Terkemuka di Asia Tenggara
Ketiga, Malaysia kini menjadi pasaran IPO paling aktif di Asia Tenggara bagi separuh pertama 2025.
Menurut laporan Deloitte, negara berjaya meraih AS$940 juta menerusi Tawaran Awam Permulaan (IPO)
Ini menunjukkan bahawa ia tertinggi dari segi jumlah dana, permodalan pasaran dan bilangan penyenaraian di rantau ini.
Momentum ini jelas menunjukkan bahawa keyakinan perniagaan tinggi dan ekonomi kita berkembang maju, menarik pelaburan masuk.
4. Daya Saing Malaysia Meningkat Pesat
Keempat, Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam World Competitiveness Ranking, kini berada di kedudukan ke-23, pencapaian terbaik dalam lima tahun.
Peningkatan ini hasil reformasi pentadbiran dan urus tadbir yang sedang dijalankan, yang merangsang pertumbuhan industri dan menarik pelaburan asing.
Kini Malaysia berada di tangga ke-4 dunia dari segi prestasi ekonomi, satu pencapaian yang luar biasa.
5. Aliran Masuk Pelaburan Tertinggi dalam Sejarah
Akhir sekali, Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM378.5 bilion bagi tahun 2024, peningkatan 14.9% berbanding tahun sebelumnya. Jumlah ini melibatkan 6,700 projek dan dijangka menjana lebih 207,000 pekerjaan baharu.
Antara pelabur terbesar ialah syarikat dari Amerika Syarikat, Jerman, China, Singapura dan Hong Kong, membuktikan bahawa keyakinan global terhadap potensi ekonomi Malaysia.
Apa Maksud Semua Ini kepada Kita?
Dengan menilai semua perkembangan ini iaitu penurunan OPR, kadar pengangguran terendah dalam sedekad, status sebagai hab IPO rantau, peningkatan daya saing global, dan pelaburan asing tertinggi. Apakah maknanya semua ini?
Ini bermaksud, lebih banyak wang bergerak dalam kitaran ekonomi negara, pembelian kereta dan rumah menjadi lebih mampu milik, keyakinan pelabur meningkat, dan dunia mula memandang ke arah Malaysia.
Petunjuk-petunjuk ini bukan satu yang bersifat khayalan. Ia dirasai dalam kehidupan harian kita.
Sebab itu kita lihat ramai orang beratur di restoran mahal, pesta pelancongan dibanjiri pelanggan yang tempah pakej luar negara, dan lebih ramai yang sanggup bayar caj penghantaran demi menggunakan FoodPanda atau GrabFood daripada memasak sendiri.
Fenomena ini sebenarnya mencerminkan kuasa membeli yang semakin meningkat dan keyakinan pengguna yang semakin kukuh.
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Malaysia bukan sekadar sedang pulih, kita sedang mara untuk menjadi peneraju pertumbuhan dan pelaburan global.
Walaupun cabaran tetap ada seperti ketegangan perdagangan AS-China dan kenaikan tarif, tetapi Malaysia sedang bergerak ke hadapan. Tanda-tanda kemajuan jelas terpampang di mana-mana. Adakah anda dapat melihatnya?
TAMAT