Fri. Jun 14th, 2024

Kenyataan Media Bendahari Cawangan DAP Hill Railway, Pulau Pinang, Hanafi Lubis (14 Mac 2024)

Ekonomi konsert: Hipokrasi PN?

Saya tertarik dengan kenyataan daripada pemimpin Perikatan Nasional, Ahmad Faizal Azumu (Peja) atas kenyataannya mengenai Malaysia terlepas peluang dapatkan Taylor Swift untuk mengadakan konsert di Malaysia.

Kenyataan Peja itu berikutan Singapura telah dapatkan penyanyi antarabangsa itu adakan Konsert The Eras Tour Taylor Swift dan Singapura dijadikan destinasi tunggal konsert penyanyi itu di Asia Tenggara.

Dilaporkan bahawa konsert tersebut telah membawa pulangan ekonomi yang lumayan kepada Singapura dengan menjana keuntungan sebanyak RM1.7 bilion dalam masa 8 hari sahaja.

Namun begitu, setiap kali ada penganjuran konsert sama ada oleh artis tempatan mahupun antarabangsa pasti akan mengundang reaksi negatif daripada rakan kompenan PN, iaitu PAS yang keras menentang penganjuran konsert oleh kerajaan, sedangkan tidak kurang juga konsert yang dianjurkan mereka ketika menjadi kerajaan 33 bulan seperti konsert Boys Like Girls, Billie Eilish, Justin Bieber, Blackpink, Super Junior dan banyak lagi. Apakah ini satu hipokrasi pemimpin PAS?

Mungkin Peja boleh memberikan satu perspektif yang lebih luas kepada pemimpin-pemimpin PAS mengenai penganjuran konsert ini, kepentingannya dalam ekonomi dan beritahu mereka kebanyakan yang hadir ke konsert ini adalah pelancong luar yang datang untuk penyanyi kegemaran mereka.

Sehubungan dengan itu, negara juga amat memerlukan infrastruktur seperti stadium yang moden, pengangkutan awam yang cekap, hotel-hotel dan tempat tarikan yang berdekatan dengan tapak konsert.

Paling penting apa yang Malaysia tidak perlu adalah ahli-ahli politikus yang mempolitikkan peluang-peluang membangunkan ekonomi. Akhirnya yang rugi adalah negara.

Hanafi Lubis
Bendahari Cawangan DAP Hill Railway, Pulau Pinang