Pembangkang kini berada di suatu ambang kemenangan apabila politik perkauman dan ekstremis berjaya dimainkan dengan menggunakan unsur fitnah dan berita palsu demi menyokong isu yang dibangkitkan.
Setiap kali apabila laman media sosial dibuka sudah pastinya akan terdapat sekurang-kurangnya satu perkongsian yang berbaur perkauman dan agama yang dikongsi oleh mereka yang termakan dengan penipuan tersebut.
Ya! Ini merupakan satu-satunya senjata yang diguna pakai demi menjejaskan imej pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan khususnya Parti DAP dengan melabelkannya sebagai sebuah parti rasis atau komunis!
Hasil daripada perilaku mereka, kaum selain daripada Melayu dan bukan Islam menjadi mangsa sasaran mereka demi memecahbelahkan perpaduan dikalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk.
Contohnya, dengan menggunakan formula menyebarkan kebencian dan fitnah, pihak pembangkang telah cuba untuk mendorong agar sekolah vernakular ditutup.
Kewujudan sekolah Cina dan Tamil tidak pernah dipersoalkan sejak negara kita mencapai kemerdekaan dan sekolah-sekolah tersebut juga telah menerima pembiayaan awam.
Walaubagaimanapun, saya ingin menekankan bahawa sekolah vernakular merupakan sebahagian daripada perlembagaan Malaysia. Terutamanya apabila seseorang membaca Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh dan menghayati konteks sejarah pendidikan vernakular di Malaysia maka perkara ini tidak akan dijadikan suatu isu.
Selain daripada itu, isu Jawi yang makin menjadi suatu isu yang hangat dikalangan rakyat Malaysia dan juga merupakan salah satu isu yang diapi-apikan oleh mereka yang ingin memecahbelahkan perpaduan demi mileage politik.
Kekecohan apa yang dibangkitkan tentang mempelajari kaligrafi Jawi? Jawi hanya berfungsi sebagai skrip untuk menulis Bahasa Melayu. Ini adalah kenyataan fakta.
Menulis Hanzi tidak akan menjadikan seseorang Melayu itu terpesong dengan agama Buddha Cina, sama seperti menulis Jawi juga tidak akan menjadikan seorang yang bukan islam untuk menjadi seorang Muslim.
Perkara ini sememangnya bukan suatu isu, tetapi ianya telah berjaya dimainkan oleh beberapa pihak untuk mencetuskan isu perpaduan dan menyebarkan kebencian dikalangan masyarakat.
Oleh itu, saya menyeru agar kita tidak membiarkan pengenalan tulisan Jawi ke sekolah kita untuk menjadi suatu isu yang dapat menjurangkan perkauman di kalangan masyarakat di Malaysia.
Perjuangan DAP dalam menentang kerajaan kleptokrasi dan penuh kronism selama 60 tahun yang lalu ini semestinya tidak harus dijadikan dengan sia-sia dan sama menghampakan pengundi.
Oleh itu, rakyat juga dimohon agar memberi peluang kepada kerajaan Pakatan Harapan dengan memberi sedikit lagi masa atau menilai berdasarkan prestasi satu penggal supaya pihak kerajaan dapat berjaya melaksanakan kesemua janji manifesto demi kebaikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan geografi.
MUHAMMAD SHAHRIZUL MUIZ BIN MOHAMED NASIR
SETIAUSAHA ORGANISASI, DAPSY TANJONG