DAP PULAU PINANG PERKUKUH SINERGI BERSAMA PCCC;
PACU AGENDA PEMERKASAAN PMKS MELALUI KERANGKA “ABCD”
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Sdr. Steven Sim Chee Keong, mengetuai Jawatankuasa Negeri mengadakan kunjungan hormat ke Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC) semalam (26 Januari 2026).
Sesi dialog bersama Presiden PCCC, Dato’ Seri Choot Ewe Seng dan ahli-ahli jawatankuasa PCCC tersebut memfokuskan kepada cabaran kritikal sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), termasuk isu pembiayaan, sistem e-invois, dasar pekerja asing, peraturan ESG, serta pemudahcara birokrasi.
Dato’ Seri Choot dalam ucapannya menegaskan bahawa PMKS adalah tulang belakang ekonomi dan menyambut baik inisiatif proaktif DAP Pulau Pinang dalam mengadakan dialog dua hala bagi mendengar keprihatinan komuniti perniagaan.
Strategi “ABCD” Memacu PMKS
Sdr. Steven Sim, yang juga merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, membentangkan visi jelas kerajaan untuk meningkatkan daya saing PMKS melalui empat teras strategik “ABCD”:
- A – Anjakan Produktiviti: Memastikan operasi lebih cekap dan berdaya saing.
- B – Birokrasi Dipermudahkan: Mengurangkan kerenah pentadbiran yang membebankan.
- C – Capaian Modal: Memperkukuh akses kepada pembiayaan dan dana.
- D – Daya Akses Pasaran: Membuka peluang pasaran.
”Dasar kerajaan seharusnya menjadi pemangkin, bukan beban. Kita perlu mewujudkan sistem yang cekap agar PMKS dapat berkembang dalam persekitaran yang lebih stabil dan berpotensi tinggi,” tegas beliau.
Mekanisme Penyelarasan Baharu
Sebagai langkah susulan, DAP Pulau Pinang bakal mewujudkan mekanisme penyelarasan yang lebih rapat. Ini bertujuan memastikan isu-isu industri dapat disalurkan secara terus, sekali gus mempercepatkan maklum balas dan keberkesanan pelaksanaan dasar di peringkat negeri mahupun persekutuan.
Kunjungan ini merupakan siri libat urus kedua sejak pembentukan Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang yang baharu pada September 2024, membuktikan komitmen berterusan parti dalam memacu pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang.
Hadir sama dalam sesi tersebut ialah barisan kepimpinan negeri termasuk Dato’ Yeoh Soon Hin, Lim Siew Khim, Teh Lai Heng, Joshua Woo Sze Zeng, Dato’ Soon Lip Chee, Dato’ Seri Sunderajoo Somu, Daniel Gooi Zi Sen, serta Setiausaha Eksekutif, Chris Lee Chun Kit.
TAMAT