Pengerusi DAP Pulau Pinang, Saudara Steven Sim Chee Keong, telah mengetuai Jawatankuasa Negeri dalam kunjungan ke Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang (PCTH) pada 27 Januari 2026 (Selasa), dan mengadakan sesi dialog bersama Presiden PCTH, Tan Sri Tan Khoon Hai serta barisan ahli jawatankuasa persatuan.
Sebagai institusi masyarakat sivil yang bersejarah lebih 150 tahun, PCTH mempunyai lebih 50,000 ahli individu dan memainkan peranan penting dalam pendidikan, budaya dan kebajikan masyarakat Cina Pulau Pinang. Pertemuan ini juga merupakan kunjungan rasmi kedua DAP Pulau Pinang sejak jawatankuasa baharu dibentuk pada September 2024.
Dalam sesi tersebut, Tan Sri Tan merakamkan penghargaan terhadap keputusan Kerajaan Perpaduan melanjutkan tempoh kelulusan pengecualian cukai bagi Institusi, Organisasi, dan Tabung (IOT) kepada maksimum 10 tahun dan menyifatkannya sebagai langkah yang mengiktiraf sumbangan sektor kebajikan dan pendidikan.
Beliau turut menyatakan bahawa pembangunan Pulau Pinang, khususnya prestasi ekonomi negeri, dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berharap agar kerjasama antara PCTH, kerajaan negeri dan DAP dapat terus diperkukuhkan dalam bidang budaya, pendidikan dan ekonomi demi membina masa depan Pulau Pinang yang lebih inklusif, berdaya saing dan makmur.
Sepanjang sesi berkenaan, ahli-ahli jawatankuasa PCTH turut berkongsi pandangan dan kebimbangan berkaitan isu masyarakat, peningkatan keupayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), pembangunan pendidikan, ekosistem perdagangan serta tadbir urus korporat. Pandangan ini mencerminkan cabaran yang dihadapi komuniti serta harapan mereka terhadap dasar negeri dan negara.
Saudara Steven Sim menegaskan bahawa DAP Pulau Pinang akan terus mempertahankan dasar-dasar yang meraikan kemajmukan kerana identiti majmuk itulah yang menjadikan Pulau Pinang unik dan berjaya.
Beliau menolak sebarang bentuk retorik ekstremis yang cuba memecah-belahkan keharmonian masyarakat dan menegaskan bahawa perpaduan nasional mesti dibina melalui dasar yang adil dan manfaat bersama.
Sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saudara Steven Sim turut menerangkan fokus kementerian untuk memperkukuh perniagaan tempatan, termasuk sektor makanan, teknologi, dan perkhidmatan agar dapat menembusi pasaran serantau.
Beliau menegaskan: “Kita mahu memastikan perusahaan Malaysia menjadi lebih kuat, lebih stabil dan lebih kompetitif.”
Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan penghubung NGO yang diketuai oleh Saudara Dato’ Yeoh Soon Hin , Saudara Zairil Khir Johari, dan Saudara Ramkarpal Singh akan terus bekerjasama rapat dengan PCTH dan NGO lain supaya suara masyarakat diterjemah dalam bentuk dasar, dan dasar diterjemah dalam bentuk manfaat.
Turut hadir ialah Dato‘ Yeoh Soon Hin, Teh Lai Heng, Joshua Woo Sze Zeng, Phee Boon Chee, Phee Syn Tze serta Setiausaha Eksekutif DAP Pulau Pinang, Chris Lee Chun Kit.
TAMAT