Ucapan Daripada Pengerusi DAP Pulau Pinang Merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow Semperna Konvensyen Biasa Negeri DAP Pulau Pinang di Hotel Equatorial pada 18 November, jam 10.00 pagi.
Konvensyen Biasa Negeri kali ini adalah amat bersejarah kerana DAP Pulau Pinang bukan sahaja dapat mempertahankan kedudukannya di Pulau Pinang pada kali ketiga dengan majoriti yang lebih tinggi, tetapi juga telah berjaya menawan Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei tahun ini.
Setelah bertungkus-lumus selama 52 tahun, akhirnya kita bersama dengan rakan-rakan Pakatan Harapan dan juga rakyat jelata berjaya menumpaskan kerajaan Barisan Nasional yang korup.
Syabas kepada semua rakyat Malaysia yang telah menonjolkan ketabahan tertinggi bagi membawa perubahan politik walaupun diancami pelbagai cabaran sejak era Reformasi dan kebangkitan gerakan masyarakat sivil seperti Hindraf dan Bersih. Dan akhirnya dengan skandal 1MDB, kita berjaya menukar Kerajaan.
Kita juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan pemimpin Pakatan Harapan dalam mewujudkan gabungan politik yang dapat menumbangkan Barisan Nasional.
Syabas juga kepada pemimpin dan ahli-ahli DAP di peringkat nasional, negeri, kawasan parlimen, cawangan, Wanita, Dapsy, dan Veteran.
Tahniah kepada Setiausaha Agung kita Sdr Lim Guan Eng atas pimpinan beliau dalam parti dan juga lantikan beliau sebagai Menteri Kewangan.
Malaysia Baharu, Harapan Baharu
Pakatan Harapan telah mula berkhidmat di peringkat persekutuan dan juga di 8 negeri sejak kemenangan 9 Mei.
Rakyat mengambil berat terhadap prestasi kerajaan baharu. Mereka ingin melihat perubahan yang dijanji-janjikan semasa kempen PRU14.
Setelah menjadi kerajaan, kita baru dapat tahu bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai hutang 1 trilion dan juga pelbagai masalah.
Walaubagaimanapun, dalam masa 6 bulan ini semenjak PRU14, kita rasa bangga atas kejayaan Kerajaan Persekutuan yang telah mula merealisasikan janji-janji dalam manifesto kita.
Pulau Pinang Terus Maju
Di Pulau Pinang, kita telah menang buat kali ketiga dengan mandat yang lebih tinggi, sebanyak 37 kerusi daripada 40 di Dewan Undangan Negeri.
DAP dapat mengekalkan semua 7 kerusi parlimen and 19 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Kita amat bersyukur kepada rakan-rakan Pakatan Harapan negeri dalam mengekalkan status quo di mana DAP diberi jawatan Ketua Menteri dan juga 7 jawatan Exco untuk memimpin Kerajaan Negeri.
Situasi Politik Di Pulau Pinang Pasca PRU14
Hampir keseluruhan barisan pembangkang di Pulau Pinang ditewaskan. Umno hanya dapat mengekalkan 2 kerusi Dewan Undangan Negeri dan PAS menang satu kerusi disebabkan oleh kehilangan kelayakan untuk bertanding oleh calon dari Pakatan Harapan.
Walau bagaimanapun pembangkang sentiasa cuba memainkan peranannya di Dewan Undangan Negeri, tetapi pihak Pakatan Harapan terus berusaha mempertahankan dasar-dasar Kerajaan Negeri.
Parti-parti politik yang lain masih cuba selaraskan kedudukan mereka selepas PRU14. Parti Gerakan telah tarik diri daripada Barisan Nasional dan mereka tidak lagi membawa ancaman kepada kita pada masa yang terdekat.
Parti-parti lain yang bertanding di Pulau Pinang juga tidak lagi aktif selepas PRU14.
Sementara itu, komponen-komponen Pakatan Harapan terus dibangunkan. Kita berharap kerjasama dan hubungan yang lebih erat diantara komponen Pakatan Harapan.
Walau bagaimanapun, dalam beberapa bulan ini, pergerakan NGO memang kritikal terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang berikutan cadangan pelaksanaan projek PTMP dan juga dua kejadian tanah runtuh baru-baru ini di tapak projek yang menyebabkan kematian 20 pekerja pembinaan.
Justeru, parti sentiasa mengambil berat tentang peranan kita dalam kerajaan dan akan buat yang terbaik untuk mengekalkan sokongan dan kepercayaan rakyat.
Manifesto “Saya Sayangi Pulau Pinang”
Pada Pilihanraya Umum Ke-14, kita telah menyampaikan 68 perkara dalam manifesto “Saya Cintai Pulau Pinang” kepada pengundi Pulau Pinang. Ia merangkumi pelbagai tema penyampaian utama. Saya ingin melaporkan bahawa Kerajaan Negeri baru telah dapat mencapaikan 36 janji pilihan raya, sementara yang lain sedang dalam progres dan juga menunggu kelulusan Persekutuan.
Kita akan memastikan bahawa semua janji pilihan raya dalam manifesto kita akan ditunaikan dalam tempoh 5 tahun ini.
Pulau Pinang 2030
Pada 29 Ogos, saya telah membentangkan pelan tindakan selama 12 tahun untuk Pulau Pinang. Ia dipanggil Pulau Pinang 2030 – Negeri Berfokus Keluarga, Hijau dan Pintar, yang dapat menjadi inspirai Negara.
Ini akan menjadi fokus dan hala tuju dasar kerajaan kita. Kita berharap agar Pakatan Harapan dan DAP akan merangkul Pelan Tindakan ini untuk bekerja dan bekerjasama dengan kerajaan Negeri dan Persekutuan, sektor swasta. badan profesional dan rakyat.
Kita bertanggungjawab kepada rakyat dan kita perlu memberikan Pulau Pinang dan Malaysia yang lebih baik untuk memenangi sokongan rakyat.
Kita akan berusaha untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri yang lain di Koridor Utara untuk mengembangkan pertumbuhan ekonomi negara, memastikan peuang pekerjaan dengan pendapatan bernilai tinggi, meningkatkan kemudahan asas, menaik taraf infrastruktur untuk menyediakan perumahan dan memastikan kebolehdapatan dan pembangunan mampan.
Peranan parti DAP
Kita berada dalam kerajaan hari ini kerana parti ini. Sebagai pemimpin dan ahli, adalah pentingnya bagi setiap orang untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan kekuatannya.
Kita telah melalui masa yang sukar dan penuh dengan cabaran. Kita mesti terus memastikan nilai teras parti kita bertahan dan memperkuatkan parti untuk berkembang. Kita berhutang kepada para ahli dan penyokong yang telah menyumbang kepada kejayaan kita hari ini.
Berikutan masalah parti kita dengan Pendaftar Pertubuhan, kita telah dapat meneruskan pegangan AGM untuk cawangan protem. Kita juga menerima permohonan baru untuk menubuhkan cawangan.
Organisasi parti, publisiti, kewangan, pendidikan politik dan sekretariat pentadbiran dijangka memainkan peranannya untuk mengukuhkan parti.
Berakhirnya pendakwaan kes Setiausaha Agung
DAP Pulau Pinang bersukacita dengan keputusan Peguam Negara untuk menamatkan pendakwaan terhadap kes yang melibatkan Ketua Setiausaha.
Setelah menyelesaikan semua masalah teknikal, Jawatankuasa Negeri telah membuat keputusan bahawa sumbangan awam dan faedah terakru dari dana jaminan berjumlah RM1,038,737.43 didermakan kepada dana biasiswa Penang Future Foundation.
Had dua penggal perkhidmatan Ketua Menteri
Pada hari Jumaat, 16 November 2018, saya telah membentangkan satu usul di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk meminda Perlembagaan Negeri bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri kepada hanya dua penggal.
Ini adalah untuk merealisasikan manifesto pilihan raya kita dan juga sejajar dengan manifesto nasional Pakatan Harapan.
Dengan pindaan itu, saya tidak akan berkhidmat lebih daripada dua penggal, dan jika saya berkhidmat dalam penggal kedua, tempoh saya sebagai Ketua Menteri akan tamat pada akhir pilihan raya akan datang.
Ini bukan sahaja melibatkan saya. Setiausaha Agung kita juga tidak lagi layak kerana beliau telah berkhidmat dua penggal sebagai Ketua Menteri dari tahun 2008 hingga 2018.
Persoalannya lebih utama adalah parti mesti siapkan para pemimpin generasi akan datang untuk terus memimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Dalam Konvensyen Biasa Negeri ini, parti boleh memulakan proses perancangan penggantian ini dengan memastikan kita menyediakan pemimpin kedua dan ketiga untuk tanggungjawab masa depan.
Apabila Setiausaha Agung dan saya menyelesaikan tanggungjawab kita pada akhir pilihan raya umum akan datang pada tahun 2028, Kerajaan Negeri masih boleh diketuai oleh sekumpulan pemimpin DAP yang berbakat.