Tue. Apr 16th, 2024

Kenyataan media Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) Parti Tindakan Demokratik

Mengecam serangan bom petrol ke atas kedai serbaneka KK Mart: tolak keganasan, jaga keharmonian

  1. Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengecam sekeras-kerasnya dua serangan bom petrol ke atas cawangan kedai serbaneka KK Mart yang terjadi baru-baru ini.
  2. Dilaporkan bahawa terdapat dua insiden serangan yang berbeza yakni kedai KK Mart di Bidor, Perak, dan semalam, kedai KK Mart di Kuantan, Pahang. Perkembangan ini amatlah membimbangkan dan jika tidak ditangani dengan cermat, ia akan mengakibatkan konflik kaum yang menjejaskan keamanan.
  3. CEC DAP menjunjung titah DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa tidak perlu lagi untuk mana-mana pihak terus mengapi-apikan kemarahan secara berterusan memandangkan tindakan mengikut lunas undang-undang telah diambil dalam isu stoking kalimah ‘Allah’.
  4. CEC DAP turut menjunjung titah DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mana Baginda telah menyifatkan perbuatan serangan bom petrol sebagai petanda yang membimbangkan dan hendaklah diberikan perhatian serius melalui tindakan tegas agar api perkauman segera dibendung daripada merebak lebih luas.
  5. Walaupun CEC DAP memahami bahawa isu stoking itu telah mengguris perasaan umat Islam, namun apa-apa tindakan seharusnya mengikut lunas undang-undang dan bukannya mengambil jalan keganasan.
  6. CEC DAP menggesa supaya pihak berkuasa membuat siasatan menyeluruh terhadap dua insiden serangan ini supaya pelaku yang bertanggungjawab di bawa ke muka pengadilan.
  7. CEC DAP juga menyeru semua rakyat Malaysia yang rasional, moderat dan mengutamakan hubungan harmoni dan keamanan untuk menolak tindakan-tindakan kekerasan ini demi tanahair yang tercinta.

Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC)
Parti Tindakan Demokratik
30 Mac 2024