Tue. Apr 16th, 2024

Kenyataan Media Hanafi Lubis (Bendahari DAP Cawangan Hill Railway, Pulau Pinang) Bertarikh 19 Disember 2023:

DAP MEMPERTAHANKAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Saya ingin memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, YB Muhammad Fawwaz Mohd Jan bertarikh 16 Disember 2023 di dalam portal Harakahdaily.net yang mengatakan bahawa DAP parti yang membelakangkan Perlembagaan Malaysia.

Kenyataan beliau ini sangat dangkal kerana DAP tidak sekali-kali membelakangkan Perlembagaan Malaysia malah menjunjung tinggi keluhuran Perlembagaan Malaysia yang menjadi pegangan setiap rakyat negara ini tanpa mengira agama dan bangsa.

Setiausaha Agung DAP, Saudara Anthony Loke dalam kenyataannya telah mengatakan bahawa DAP sentiasa menjunjung sepenuhnya Perlembagaan Malaysia seperti mana yang telah termaktub dalam Deklarasi Shah Alam 2012 dan Deklarasi DAP@50 2016 yang mengatakan bahawa DAP akan terus memelihara 4 prinsip keistimewaan orang Melayu iaitu kedudukan raja-raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Jika DAP membelakangkan Perlembagaan Malaysia, sudah pastinya parti ini diharamkan penubuhannya di negara ini.

Saya rasa daripada PAS sibuk memfitnah DAP adalah lebih baik mereka fokus kepada pembangunan ekonomi negeri-negeri di bawah pimpinan PAS yang dikatakan kurang memberangsangkan.

Lihat sahaja negeri Kelantan yang hanya menyumbang 1.8% daripada KDNK negara walaupun telah memerintah selama 33 tahun. Begitu juga negeri-negeri di bawah pemerintahan PAS seperti Perlis dan Kedah. Lain pula Terengganu yang menyumbang KDNK tinggi hasil sumbangan Petronas bukannya usaha pentadbiran PAS Terengganu.

Terlebih dahulu, seorang Ahli Parlimen PAS pernah melontarkan fitnah dengan mengatakan bahawa Lim Guan Eng adalah sepupu Lee Kuan Yew. Sekarang pula seorang lagi Ahli Parlimen PAS menyebar persepsi palsu bahawa DAP membelakangkan Perlembagaan Negara. Adakah fitnah itu budaya parti PAS?

Hanafi Lubis
Bendahari
DAP Cawangan Hill Railway, Pulau Pinang