Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam
29 JULAI 2022 | BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG
Menteri Alam Sekitar dan Air amat tidak bertanggungjawab dalam memberi cadangan yang tidak masuk akal serta berpotensi mendatangkan mudarat besar kepada rakyat dan negeri Pulau Pinang
Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man telah mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengikut langkah Kerajaan Negeri Kelantan menggunakan sumber air bawah tanah sebagai sumber air negeri.
(Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/07/28/pulau-pinang-disaran-teroka-sumber-air-bawah-tanah-kata-menteri)
Cadangan tersebut bukan sahaja sangat tidak masuk akal malah mendatangkan mudarat besar kepada rakyat dan negeri Pulau Pinang.
Pertama sekali, Menteri sebenarnya hanya perlu membaca laporan-laporan Kerajaan Persekutuan sendiri seperti Kajian Sumber Air Negara 2000-2050 (2000) dan Review of the National Water Resources 2000-2050 and Formulation of National Water Resources Policy (2011) untuk mengetahui bahawa kuantiti air bawah tanah di Pulau Pinang sememangnya tidak mencukupi untuk menampung permintaan air dalam negeri, justeru cadangan Menteri tersebut sangat tidak masuk akal.
Keduanya, tindakan mengeluarkan air bawah tanah akan menyebabkan struktur tanah tenggelam dan seterusnya mengakibatkan kerosakan alam sekitar, infrastruktur serta bangunan yang sedia ada.
Malahan, dengan peningkatan paras air laut yang semakin serius, risiko banjir akan semakin tinggi di Pulau Pinang apabila struktur tanah tenggelam.
Kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan air di bawah tanah yang dilakukan di bahagian utara Kelantan telah menyebabkan tanah tenggelam sehingga 4.22 milimeter setahun.
Satu lagi kajian yang melibatkan 99 bandar telah menunjukkan bahawa pengambilan air di bawah tanah merupakan faktor utama yang mengakibatkan kejadian tanah tenggelam yang berlaku pada kadar yang cepat.
Contoh yang paling drastik adalah pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan kerana pengeluaran air di bawah tanah telah menyebabkan bandar Jakarta semakin tenggelam.
(Sumber: https://www.hmetro.com.my/global/2019/08/487149/jakarta-makin-tenggelam)
Sebenarnya, cara penyelesaian untuk isu pembekalan air di Pulau Pinang adalah melalui Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) yang telah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Kerajaan Persekutuan. Skim ini bukan sahaja akan memberikan jaminan bekalan air kepada Pulau Pinang malah untuk kawasan utara negeri Perak sehingga tahun 2050.
Namun, malangnya pihak Kerajaan Persekutuan tidak menyokong untuk meluluskan cadangan ini dan sebaliknya menyarankan Pulau Pinang meneroka air di bawah tanah yang akan mendatangkan kesan yang sangat buruk terhadap rakyat dan negeri Pulau Pinang.
Menteri Alam Sekitar dan Air seharusnya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengantara bagi cadangan SPRWTS supaya ada keputusan saling menang (win-win) antara Perak dan Pulau Pinang dalam isu ini, bukannya mengeluarkan idea-idea yang tidak masuk akal serta berpotensi mendatangkan mudarat besar kepada rakyat dan negeri Pulau Pinang.
Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam