Wed. Oct 14th, 2026

Kenyataan media DAP Pulau Pinang bertarikh 18 Oktober 2025

BELANJAWAN 2025 AKAN MEMBANTU PULAU PINANG UNTUK MEMBINA EKONOMI YANG LEBIH BAIK PADA MASA DEPAN

DAP Pulau Pinang menyambut baik Belanjawan 2025 yang telah dibentangkan oleh Dato‘ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia.

Belanjawan 2025 membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan menyokong pembangunan negeri Pulau Pinang dalam pelbagai aspek. Antaranya ialah infrastruktur bekalan air, ekosistem pengangkutan, dan sektor perindustrian berteknologi tinggi.

  1. INFRASTRUKTUR BEKALAN AIR

Penggunaan air di Pulau Pinang telah meningkat kepada 887 juta liter sehari (JLH) pada separuh pertama tahun ini berbanding purata 843 juta liter sehari (JLH) pada tahun 2019. Penggunaan ini dijangka meningkat secara berterusan dengan kerancakan perindustrian di negeri ini.

Sementara Pelan Kontingensi Air 2030 yang bernilai RM1.1 bilion sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Belanjawan 2025 Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan Projek Pemindahan Air Sungai Perak yang bakal memenuhi permintaan air industri serta domestik bagi jangka masa panjang, khususnya di daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

  1. EKOSISTEM SEKTOR PENGANGKUTAN

Belanjawan 2025 juga memperlihatkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membantu menyelesaikan masalah trafik darat dan udara di negeri ini.

Pembinaan Lebuh Raya bertingkat Juru-Sungai Dua dan Transit Aliran Ringan (LRT) merupakan dua projek berimpak tinggi yang bakal mengurangkan kesesakan lalu lintas di Seberang Perai dan Pulau Pinang. DAP Pulau Pinang menyokong penuh pelaksanaan kedua-dua projek infrastruktur mega ini.

Manakala, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pula akan meningkatkan penerbangan masuk dan kemasukan pelancong ke negeri ini. Sebagai salah satu pintu masuk antarabangsa ke Malaysia, keselesaan dan kemudahan yang bakal dinaiktaraf di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang akan menjadi titik sentuhan penting bagi pelawat dari seluruh dunia.

Projek-projek ini bukan sahaja akan meningkatkan kesalinghubungan dan ekosistem pengangkutan Pulau Pinang dengan ketara, tetapi juga memberikan manfaat limpahan ekonomi berganda di negeri ini.

  1. SEKTOR PERINDUSTRIAN BERTEKNOLOGI TINGGI

Tambahan itu, lonjakan permintaan tanah perindustrian di Pulau Pinang kini menjadi cabaran berterusan bagi Pulau Pinang.

Justeru, komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Batu Kawan Industrial Park 3 bersama-sama dengan Kerajaan Negeri adalah satu langkah yang amat dialu-alukan.

Tambahan pula, RM50 juta telah diperuntukkan untuk penyelidikan kecerdasan buatan di universiti tempatan. Ini akan meningkatkan kerjasama sedia ada Universiti Sains Malaysia dengan syarikat-syarikat teknologi gergasi di Pulau Pinang untuk membina bakat teknologi tinggi.

Secara keseluruhannya, DAP Pulau Pinang menerima baik inisiatif-inisiatif strategik Belanjawan 2025 yang jelas memenuhi keperluan dan kepentingan rakyat Pulau Pinang. Gagasan dan pendekatan Kerajaan Persekutuan Perpaduan jelas sejajar dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

DAP Pulau Pinang memberikan sokongan penuh terhadap kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam usaha menjamin masa depan yang lebih baik untuk negeri ini.

TAMAT

JOSHUA WOO SZE ZENG
SETIAUSAHA PUBLISITI DAP PULAU PINANG