Fri. Jun 14th, 2024

Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari, Exco Infrastruktur, Pengangkutan Dan Digital Negeri Pulau Pinang bertarikh 5 Jun 2024:

Percuma 10,000 liter air pertama bagi setiap bil selama 6 bulan dan rebat RM20 bagi isi rumah besar dengan pendapatan RM5,000 ke bawah

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum rintihan mengenai kadar tarif air domestik baharu yang dilaksanakan sejajar dengan pelarasan semula tarif air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang telah berkuatkuasa sejak Februari 2024.

Walaupun Pulau Pinang masih lagi menikmati tarif kedua terendah di negara Malaysia dengan tarif baharu, namun ramai yang mengeluh kerana peningkatan yang mendadak berbanding dengan tarif dahulu yang tidak diselaraskan selama 31 tahun bagi band pertama (20 meter padu) dan sembilan tahun bagi band-band lain.

Justeru, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada hari ini telah memutuskan untuk mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) untuk memberi rebat kepada rakyat Pulau Pinang dalam bentuk:

a) Air percuma sebanyak 10,000 liter air pertama bagi setiap bil selama enam bulan (berkuatkuasa Julai 2024 sehingga Disember 2024); dan
b) Meluaskan skim Rebat Mesra Keluarga RM20 bagi isi rumah besar (lapan orang dan ke atas) dengan pendapatan RM5,000 ke bawah, iaitu peningkatan daripada RM2,250.

Dengan rebat di atas, semua pengguna air domestik akan menikmati rebat sebanyak RM6.20 pada setiap bil. Sebagai contoh, pengguna dalam band pertama hanya perlu membayar RM6.20 (RM12.40 tolak RM6.20) untuk dua bulan, manakala pengguna dalam band kedua yang dibil sebanyak RM30 hanya perlu membayar RM23.80 untuk dua bulan.

Kerajaan Negeri berharap agar bantuan air percuma sebanyak 10,000 liter air pertama kepada semua pengguna air Negeri Pulau Pinang selama enam bulan serta rebat RM20 kepada isi rumah besar dengan pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah ini akan sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban rakyat.

ZAIRIL KHIR JOHARI
EXCO Negeri Pulau Pinang (Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital)