Ahli Parlimen Steven Sim gesa kerajaan sediakan dana sebanyak RM100 juta selamatkan industri sukan kita

Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam
26 JUN 2021 | BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG

Kerajaan tidak boleh berpeluk tubuh melihat industri sukan Malaysia mati dek kegagalan kerajaan sendiri dalam pengurusan pandemik Covid-19 

Pada minggu lepas, media melaporkan bahawa industri gim dan kecergasan telah kerugian lebih RM110 juta sejak PKP 1.0. Kini, industri ini masih ditutup dalam tempoh Total Lockdown dan dijangka akan terus ditutup sehingga sektor sosial dibuka kembali.
(Rujukan: https://themalaysianreserve.com/2021/06/21/gym-fitness-operators-lose-over-rm110m-since-mco-1-0)

Industri sukan Malaysia secara amnya memberi peluang pekerjaan kepada lebih kurang 15,000 pekerja serta peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan. Dalam tempoh setahun ini, sektor ini merupakan antara sektor yang paling terjejas – merekalah antara yang terawal diarahkan untuk ditutup dan antara yang terakhir dibenarkan untuk dibuka semula. Apabila ditutup, industri sukan terutama pengusaha gim dan kemudahan kecergasan seperti padang bola sepak komersil, pusat futsal, jurulatih, juru terapi sukan tidak dapat beralih kepada proses perniagaan lain contohnya “khidmat penghantaran” dalam sektor pemakanan. Justeru, arahan penutupan kerajaan bermakna sektor industri sukan ini tidak mempunyai sebarang pendapatan selama tempoh penutupan tersebut.

Antara cadangan saya dalam perbahasan Belanjawan 2021 ialah agar kerajaan menyediakan satu Dana Kelangsungan Industri Sukan untuk perniagaan berkait dengan industri sukan dan rekreasi yang terjejas disebabkan krisis Covid-19.

Berikutan cadangan tersebut, Menteri Belia dan Sukan telah mengumumkan satu Skim Pembiayaan Industri Sukan dengan peruntukan RM20 juta bagi menyediakan pinjaman kepada industri sukan melalui Tekun Nasional dan Bank Rakyat.

Banyak aduan telah diterima tentang Skim tersebut. Malah, ada yang mengadu bahawa Skim tersebut langsung tidak membantu pengusaha industri sukan tempatan dengan proses kelulusannya yang mengambil masa yang panjang sehingga 40 hari dan kadar faedah yang tidak munasabah untuk sektor yang sedang lemas ini. (Rujukan: https://malaysiagazette.com/2021/06/13/kadar-faedah-4-peratus-tolong-atau-ah-long)

Satu tinjauan di kalangan pengusaha industri sukan juga mendapati bahawa mereka sudahpun terbeban dengan hutang walaupun tiada sebarang pendapatan ketika tempoh arahan penutupan kerajaan. Jelas, Skim Pembiayaan Industri Sukan gagal membantu industri sukan menempuh cabaran ekonomi Covid-19.

Dana Kelangsungan Industri Sukan RM100 juta

Justeru, saya ingin menggesa kerajaan untuk menyediakan satu Dana Kelangsungan Industri Sukan dengan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi menyelamatkan industri sukan Malaysia dengan langkah-langkah berikut:

  1. Subsidi bulanan sehingga 50% sewa bulanan atau maksima RM5,000 kepada perniagaan industri sukan yang diarahkan untuk ditutup sepanjang tempoh arahan penutupan kerajaan. Untuk perniagaan industri sukan di premis kerajaan, pengecualian sewa patut diberikan sepanjang tempoh arahan penutupan kerajaan.
  2. Geran pendigitalan sehinga RM10,000 untuk membantu industri sukan beralih ke teknologi Industri 4.0 bagi menghadapi norma baharu.
  3. Geran Khas Prihatin untuk Industri Sukan sebanyak RM2,000 secara one-off sebagai membantu sektor ini yang sudah terjejas teruk sejak Mac 2020.
  4. Bantuan bulanan RM1,000 kepada individu bekerja sendiri dalam industri sukan yang terjejas dengan arahan penutupan kerajaan sepanjang tempoh tersebut.
  5. Elaun peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) sebanyak RM1,000 sebulan untuk individu dalam industri sukan yang mengambil kursus sukan dan kejurulatihan yang diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan.

RM100 juta merupakan hanya lebih kurang 10% daripada belanjawan tahunan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan tidak keterlaluan untuk digunakan bagi menyelamatkan industri sukan Malaysia ketika banyak program-program KBS yang lain tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini. Saya yakin Menteri Belia dan Sukan prihatin terdapat keluhan industri sukan, justeru saya berharap Menteri Kewangan akan memudahcara meluluskan Dana Kelangsungan Industri Sukan dengan kadar segera.

Ubah Skim Pembiayaan Industri Sukan kepada pinjaman mudah tanpa faedah

Skim Pembiayaan Industri Sukan sedia ada patut diubah menjadi pinjaman mudah tanpa faedah, dengan moratorium selama enam bulan sebelum pembayaran balik bermula. Proses kelulusan patut diperbaiki supaya tidak mengambil masa yang terlalu lama.

Insentif cukai untuk menggalakkan industri sukan

Dalam Belanjawan 2021 yang lepas, saya juga telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk memberi insentif cukai terus kepada syarikat korporat yang menyediakan keahlian gim atau kemudahan sukan yang lain kepada pekerja, menganjurkan aktiviti sukan (secara fizikal ataupun maya) dan memberikan tajaan sukan.

Cadangan tersebut perlu dipertimbangkan bagi membolehkan pihak swasta menyokong industri sukan negara serta sektor sukan secara amnya termasuk sumbangan kepada persatuan-persatuan sukan.

Strategi arahan penutupan kerajaan patut berlandaskan data dan sains, jangan memangsakan sektor ekonomi dengan label “bukan keperluan utama”

Saya juga menggesa kerajaan untuk menggunakan pendekatan berlandaskan data dan sains dalam mengeluarkan arahan penutupan, bukan memangsakan sektor tertentu dengan label “perlu” (essential) dan “bukan keperluan utama” (non-essential). Jika kilang yang mempunyai ratusan pekerja boleh dibenarkan, mengapa jurulatih kecergasan tidak dibenarkan untuk bergerak ke gim atau pusat kecergasan untuk merakam dan membuat video streaming kepada pelatih dan pelanggan beliau di rumah mereka masing-masing.

Kerajaan patut melaksanakan penilaian risiko ke atas premis-premis perniagaan industri sukan sebelum membuat keputusan arahan penutupan. Jika pengusaha mampu membuktikan mereka dapat mengurangkan risiko jangkitan di premis ke tahap paling minima, maka mereka tidak patut dikenakan arahan penutupan yang tidak adil. Sebaliknya, sekiranya pengusaha gagal berbuat demikian, mereka tidak patut dibenarkan untuk beroperasi tidak kira dalam sektor “perlu” (essential) atau tidak.

Saya menyeru agar Majlis Keselamatan Negara memberi pertimbangan serius kepada usul satu gabungan pengusaha gim dan kemudahan kecergasan yang telah mengemukakan senarai SOP sebanyak 73 butiran untuk kebenaran dibuka semula. Jika 73 butiran tersebut masih tidak mencukupi, maka MKN boleh memberikan langkah-langkah tambahan kepada mereka. Dalam masa krisis, kerajaan tidak boleh sekadar berpeluk tubuh ketika industri negara kita sedang lemas bergelut dengan cabaran ekonomi dek kegagalan kerajaan sendiri dalam pengurusan pandemik.

Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Scroll to Top