Kenyataan media – Syerleena Abdul Rashid – ADUN Seri Delima / Ahli Jawatankuasa DAP Wanita Kebangsaan / Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang – 17 Jun 2020 – Georgetown, Pulau Pinang
Saya merujuk laporan berita Malaysiakini yang bertajuk, “Polis siasat Hannah Yeoh berkenaan tweet kahwin bawah umur” pada 16 Jun 2020.
Beliau akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda RM50,000, atau kedua-duanya.
Isu kahwin bawah umur merupakan isu yang cukup memberi kesan kepada golongan wanita, terutama sekali anak-anak gadis bawah umur yang kurang berpendidikan, dari keluarga berpendapatan rendah dan tidak mempunyai sistem sokongan.
Isu kahwin bawah umur bukan sahaja melibatkan umat Islam, malah juga orang selain Islam. Statistik kementerian sepanjang 10 tahun lalu merekodkan lebih 10,000 kes pernikahan bawah umur melibatkan orang Islam dan 4,999 kes bagi bukan Islam di seluruh negara, malah ia adalah isu kebangsaan yang wajar diberi perhatian yang serius. Wanita berdepan risiko tinggi melibatkan kesihatan seksual dan kehamilan sehingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian. Masa depan ramai gadis bawah umur bergantung pada pendekatan kerajaan menangani isu ini.
Bersama dengan mantan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita, saudari Hannah Yeoh telah bekerja keras merangka Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur bagi menangani punca-punca perkahwinan bawah umur di peringkat akar umbi.
Saudari Hannah Yeoh merupakan Ahli Parlimen dan mantan timbalan menteri wanita yang cukup prihatin. Beliau masih cakna dengan perkembangan di kementerian wanita walaupun sudah tidak bergelar Timbalan Menteri. Dengan tiadanya sesi sidang Parlimen, maka beliau telah menzahirkan keprihatinan beliau melalui Twitter.
Saya menyeru kerajaan agar tidak menghalang ahli-ahli dewan rakyat dari menjalankan tugas mereka sebagai wakil rakyat.
Saya juga menyatakan sokongan penuh terhadap saudari Hannah Yeoh dan berharap penyiasatan berjalan dengan lancar tanpa sebarang campur tangan.
SYERLEENA ABDUL RASHID
ADUN SERI DELIMA
AJK DAP WANITA KEBANGSAAN
PENOLONG SETIAUSAHA PUBLISITI DAP PULAU PINANG