ADUN DAP Pulau Pinang seru JKJAV segerakan vaksinisasi Fasa 2 Program Imunisasi agar bantu kawal penularan wabak COVID-19

Kenyataan Media Bersama Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Backbenchers) DAP Pulau Pinang pada 5 Mei 2021 (Rabu) di George Town, Pulau Pinang:

Merujuk kepada situasi peningkatan kes positif wabak COVID-19 di seluruh negara termasuk di Negeri Pulau Pinang, ingin kami menyatakan keresahan dan kerisauan berhubung dengan usaha memerangi pandemik COVID-19 yang dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan dibawah Perikatan Nasional.

Ura-ura kebelakangan ini telah menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai sebarang pelan kontingensi untuk mengatasi wabak tersebut melainkan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi dan ini akan selanjutnya menyusahkan rakyat khususnya mereka yang telah terjejas dengan serius selaras dengan pelaksanaan PKP 1.0 dan 2.0 sebelum ini.

Ingin kami merujuk kepada Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijalankan dan beberapa data dan statistik telah menambahkan keresahan kami khasnya dari segi usaha Kerajaan Persekutuan menangani COVID-19.

Mengikut statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), setakat 3 Mei 2021 sebanyak 914,663 individu telah divaksinasi selaras dengan pelaksanaan Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan. Pulau Pinang telah mencatatkan sebanyak 63,101 individu yang telah dibekalkan vaksin COVID-19 iaitu pada kadar 4.56% dari sasaran jumlah populasi. Jumlah ini hanyalah 9.57% daripada jumlah 658,707 individu yang telah berdaftar bagi Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan di Negeri Pulau Pinang.

Namun demikian, adalah begitu kecewa di mana hanya 5 daripada 10 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Negeri Pulau Pinang bagi Fasa 2 Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan dibuka sahaja. Ini telah terpesong daripada perancangan awal di mana sasaran seramai 7,500 individu sepatutnya divaksin setiap hari namun kini dengan hanya 5 PPV, kadar sebanyak 2,000 sahaja mampu dicapai setiap hari.

Ini ditambahkan lagi dengan beberapa kes yang kita terima daripada orang awam di mana PPV yang ditetapkan untuk mereka adalah sangat jauh dari tempat asal mereka dan terdapat mereka yang terpaksa membatalkan temujanji vaksinasi seakibat daripada kesusahan untuk sampai ke PPV yang ditetapkan.

Meskipun Pakatan Harapan merupakan pembangkang di peringkat persekutuan, namun kami tetap menjalankan program-program pendaftaran di komuniti masing-masing untuk membantu rakyat di Negeri Pulau Pinang menyertai Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan. Ini dapat dilihat dengan kadar pendaftaran yang tinggi di Negeri Pulau Pinang pada 47.57% namun usaha ini tidak akan menghasilkan pencapaian sekiranya kadar immunisasi tidak dapat ditingkatkan.

Apakah isu-isu sebegini akan menjadi penghalang kepada pencapaian sasaran 80% immunasi pada bulan Disember tahun ini? Apakah pelan kontingensi Kerajaan Persekutuan sekiranya kadar pemberian vaksin ini tidak dapat dipertingkatkan lagi?

Kami turut menyeru agar pihak JKJAV dapat mempertimbangkan dan menyegerakan penyertaan Fasa 2 Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan berdasarkan pendaftaran yang telah dilakukan ini. Nescaya dengan tindakan yang pantas dan kadar vaksinisasi yang dipertingkatkan ini akan membantu mengawal penularan wabak COVID-19 di Negeri Pulau Pinang dan seluruh negara.

Sebagai kesimpulan, rakyat Malaysia kini berada di dalam keadaan keletihan pandemik (pandemic fatigue) dengan cara pengendalian dan pengurusan Kerajaan Persekutuan bagi menangani wabak COVID-19. Ini ditambahkan pula dengan sikap dan sistem ‘antara dua darjat’ dari segi penguatkuasaan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Pelaksanaan proklamasi darurat yang sepatutnya bertindak untuk mengatasi wabak COVID-19 bukan sahaja telah menyaksikan peningkatan kes secara mendadak, malah ia turut membantutkan sistem demokrasi negara di mana Sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak dapat dijalankan untuk membincang dan mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya bagi menangani pandemik COVID-19 ini.

Sehubungan dengan itu, kami menyeru dan menggesa supaya Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Perikatan Nasional menjawab kepada persoalan yang dibangkitkan tersebut dengan tindakan susulan segera.

Sekiranya persoalan yang dibangkitkan tersebut gagal dijawab oleh Kerajaan Persekutuan dengan menyegerakan langkah yang proaktif bagi mengatasi permasalahan yang dibangkitkan, sistem demokrasi yang wujud di negara ini perlu dengan segeranya dikembalikan agar persoalan dan permasalahan ini dapat dibangkitkan dan diselesaikan di Sidang Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Lim Guan Eng
ADUN Air Putih

Teh Lai Heng
ADUN KOMTAR

Satees A/L Muniandy
ADUN Bagan Dalam

Heng Lee Lee
ADUN Berapit

H’ng Mooi Lye
ADUN Jawi

Chris Lee Chun Kit
ADUN Pulau Tikus

Daniel Gooi
ADUN Pengkalan Kota

Lim Siew Khim
ADUN Sungai Pinang

Ong Ah Teong
ADUN Batu Lancang

Syerleena Bt. Abdul Rashid
ADUN Seri Delima

Joseph Ng Soon Siang
ADUN Air Itam

Scroll to Top
Scroll to Top