Martabat Melayu Islam Dipelihara Kerajaan DAP: DAPSY Farid Maulud

MARTABAT MELAYU ISLAM DIPERLIHARA KERAJAAN DAP

Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah menunjukkan sikap yang adil dalam melaksanakan tugas pentadbiran di Pulau Pinang. Tanpa mengira kaum dan agama, program-program yang terjurus kepada keharmonian terus sahaja dilaksanakan untuk pembangunan masyarakat yang lebih lestari.

Walaupun rata-rata pihak parti lawan menggunakan modal perkauman untuk menyuntik kemarahan masyarakat kaum Melayu yang mana kerajaan Pulau Pinang yang diperintah oleh DAP menindas orang Melayu sejak mereka berkuasa. Saya kira ini adalah tuduhan yang sangat melampau dan tidak bijak.

Sejak pentadbiran Kerajaan Negeri diambil alih dari Barisan Nasional pada 2008. Jumlah belanjawan yang besar telah diperuntukkan kepada pembangunan Agama Islam dengan peningkatan sebanyak 400 peratus sejak 2008. Dan pada perbentangan Belanjawan Negeri 2021 minggu lalu, sebanyak RM64.16 juta telah diperuntukan untuk pembangunan Agama Islam yang dipecahkan untuk beberapa masjid yang akan dibina baharu serta yang akan dinaik taraf dan peruntukan ini juga termasuk pembangunan prasarana pendidikan agama Islam di negeri ini di samping meneruskan bantuan kepada Sekolah-sekolah Agama Rakyat (SAR).

Kenyataan dari Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff yang diterbitkan oleh HarakahDaily pada 23 Oktober 2020 mengenai projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) jelas menunjukkan satu mesej perkauman yang sengaja dipolitikkan sebuah usaha murni kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memperbaiki kesesakan lalu lintas yang dialami oleh rakyat Pulau Pinang sekian lama.

Jumlah nelayan Melayu ialah seramai 0.68% dari keseluruhan penduduk Melayu Bumiputera di Pulau Pinang yang berjumlah seramai 728,800 orang. Menurut kajian lapangan yang telah dibuat, 1 dari 3 keluarga nelayan sahaja yang mewarisi pekerjaan ini kepada keluarga dan anak-anak mereka. Maka, dari sektor pekerjaan masyarakat Melayu teramai di Pulau Pinang rata-rata mereka adalah bukan dari sektor nelayan. Maka di mana datangnya Kerajaan DAP mengusir orang Melayu?

Tambahan kepada itu, tiada pengusiran yang akan berlaku akibat penambakan pulau-pulau baharu ini. Malahan, Kerajaan Negeri telah komited untuk memberi bantuan dalam pelbagai bentuk kepada para nelayan yang terkesan, termasuk bayaran tunai, pembinaan jeti-jeti baharu untuk mereka serta prasarana dan kemudahan baharu yang akan membantu mereka dalam aktiviti menangkap ikan. Dalam pada itu, peluang pekerjaan baharu juga akan diperkenalkan seperti perkhidmatan bot pengangkutan, penghantaran makanan kepada pekerja pembinaan dan sebagainya. Program latihan semula juga akan disediakan kepada nelayan yang ingin mempelajari kemahiran baharu. Anak-anak nelayan juga akan mendapat program tuisyen percuma.

Projek tambakan seperti ini bukan pertama kali dibuat. Sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional suatu ketika dahulu, mereka juga telah membuat tambakan di kawasan perindustrian di Bayan Lepas. Walaupun projek ini juga merupakan sebuah projek tambakan namun kini memberikan peluang pekerjaan yang tinggi kepada rakyat Pulau Pinang tanpa mengira agama dan bangsa.

Untuk respon kepada projek PTMP yang telah dituduh sebagai agenda untuk menghalau masyarakat Melayu di Pulau Pinang dengan lantikan kontraktor pilihan. Sebenarnya kenyataan ini telah ditangkis beratus-ratus kali. Lantikkan kontraktor bagi pelaksanaan PTMP adalah berdasarkan tender terbuka dan tiada campur tangan politik ketika sesi pemilihan.

PTMP merupakan sebuah projek yang telus yang dibuka kepada semua pihak untuk mendapatkan maklumat yang terperinci di laman sesawang mereka. Sejak tahun 2015-2017 juga beberapa siri taklimat diadakan bersama rakyat Pulau Pinang bagi mendedahkan projek ini.

Walaupun mendapat tentangan dari pihak-pihak parti lawan, saya tetap percaya bahawa projek yang diusahakan oleh Kerajaan DAP ini mendapat sokongan dari rakyat Pulau Pinang secara keseluruhannya untuk melihat negeri ini terus berkembang dari pelbagai sudut.

Farid Maulud
Ketua Pemuda Sosialis DAP Bahagian Bukit Bendera
Ahli Parlimen Belia Malaysia

Scroll to Top