Wakil DAP tanya status penggubalan akta baharu perlindungan hak warga emas

Kenyataan Media bersama Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto dan Ahli Dewan Negara Senator Lim Hui Ying pada Khamis 1 Oktober 2020 di Pulau Pinang:

Pada Hari Warga Emas ini, apakah status penggubalan satu akta baharu untuk melindungi hak warga emas di Malaysia dan apakah persediaan kerajaan ini untuk golongan ini dikala negara berhadapan dengan pandemik COVID-19?

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengisytiharkan 1 Oktober sebagai Hari Warga Tua Antarabangsa untuk memberikan pengiktirafan kepada golongan ini dan juga untuk pemetaan tindakan jangka masa pendek dan panjang akan masa depan warga emas di keadaan sosioekonomi yang berbeza di seluruh dunia.

Malaysia akan berhadapan dengan peningkatan anggaran 7.2% penduduk warga emas pada tahun depan dan angka ini bakal mencatat 15% menjelang 2030.

Tema PBB tahun ini adalah untuk mendengar cadangan dan idea dari golongan warga emas untuk masyarakat yang inklusif, untuk memastikan tiada yang ketinggalan dalam era globalisasi ini dan kerajaan wajar mengambil nasihat ini sebagai kompas moral dan sebagai panduan dalam melindungi dan mempertahankan hak warga emas.

Di Malaysia dua dasar utama diwujudkan untuk menitik berat hak warga emas – Dasar Warga Emas Negara dan Dasar Kesihatan Warga Emas Negara dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Apakah KPI dasar-dasar ini? Sejauh manakah polisi dan rancangan kerajaan telah dilaksanakan mengikut peruntukan dasar-dasar ini?

Apakah pula status kajian Universiti Malaya yang dilantik oleh Kerajaan Pakatan Harapan untuk mewujudkan satu akta khas bagi memberikan perlindungan kepada warga emas di negara ini yang akan melibatkan isu pengabaian, penderaan dan Universiti Kebangsaan Malaysia bagi model penjagaan, yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun 2021?

Adakah kerajaan Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional akan meneruskan usaha ini untuk memberikan perlindungan serta menjaga hal ehwal golongan ini?

Bagaimana pula dengan status Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta yang telah digazet pada 2018? Kepentingan akta seperti ini adalah untuk tujuan pengurusan secara holistik pusat-pusat dan kemudahan-kemudahan bagi penjagaan warga emas dan untuk memastikan semua pengusaha dan operator mempunyai lesen dan dapat dikawal selia dengan berkesan. Bilakah akta akan dikuat kuasakan?

Di Pulau Pinang, Ketua Menteri YAB Chow Kon Yeow telah memberikan komitmen di antara negeri pertama untuk meletakkan agenda warga emas sebagai perkara arus perdana (mainstream) juga di negeri ini yang berlandaskan visi beliau dalam Penang 2030. Kerajaan negeri Pulau Pinang akan memulakan satu pendekatan bersepadu melalui koordinasi dan kerjasama di antara semua agensi termasuk pembekal perkhidmatan (service provider) dalam satu perjumpaan Ketua Menteri bersama Association for Residential Aged Care Operators of Malaysia (AgeCope) baru-baru ini.

Pejabat Parlimen Batu Kawan adalah dalam proses untuk menubuhkan satu Pusat Aktiviti Warga Emas namun kelulusan dari Putrajaya masih mengambil masa berbulan walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah telah memberikan kerjasama serta nasihat dan panduan yang baik.

Menurut CodeBlue, sehingga 7 September 2020, pada masa Malaysia merekodkan kematian akibat COVID19 sebanyak 128 orang, 68.7% atau 88 kematian merupakan golongan warga emas. Di Perancis berpuluhan warga emas telah mati akibat jangkitan COVID19 di pusat penjagaan warga emas di peringkat awal pandemik, sebelum kerajaan dikerah untuk memberikan bantuan.

Apakah dasar atau plan tindakan dari segi perlindungan dan jaminan punca pendapatan atau “income security” dan kemudahan kesihatan dan apakah usaha untuk memastikan golongan warga emas tidak ketinggalan dalam zaman maklumat digital dewasa ini?

Maka kami menyeru agar kerajaan ini meletakkan hak warga emas sebagai satu perkara arus perdana dalam rancangan Malaysia ke ara pasca COVID19 dan mengambil kira keperluan golongan warga emas dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang bakal dibentangkan ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara nanti.

Cantas segala karenah birokrasi dan ‘red-tape’ terutama sekali dalam memberikan bantuan kepada golongan warga emas, kerana mereka yang di antara paling terkesan dan terjejas (vulnerable) di negara ini.

Seperti pepatah “adat muda menanggung rindu, adat tua menahan ragam”, kami menyeru agar kerajaan memberikan lebih perhatian dan usaha untuk memartabatkan golongan warga emas yang telah sekian lama berbakti kepada tanah air ini.

Kasthuriraani Patto
Ahli Parlimen Batu Kawan

Lim Hui Ying
Ahli Dewan Negara

Scroll to Top