Polisi yang melindungi martabat wanita, selari dengan nilai-nilai universal, sepatutnya digubal dan diangkat secepat mungkin

Kenyataan Media – Syerleena Abdul Rashid – ADUN Seri Delima/AJK DAP Wanita Kebangsaan/Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang – Georgetown, Pulau Pinang – 6hb Julai 2020:

Pelantikan YB Shabudin Yahya sebagai timbalan menteri merupakan perkembangan mendukacitakan lagi merisaukan bagi rakyat wanita Malaysia.

Saya merujuk laporan berita di mana seorang lagi timbalan menteri telah dilantik oleh Perikatan Nasional, iaitu YB Shabudin Yahya sebagai timbalan menteri undang-undang dan hal ehwal parlimen. Saya ucapkan tahniah kepada YB Shabudin atas pelantikan ini.

Namun, saya ingin menzahirkan rasa kesal dan sedih terhadap perkembangan terbaru ini. Ini kerana saya teringat kenyataan beliau dalam satu perbahasan parlimen pada tahun 2017 di mana beliau telah dipetik berkata:

“Mungkin dengan sebab perkahwinan itulah mereka dapat melalui satu kehidupan yang lain, yang lebih sihat, yang lebih baik dan seorang isteri yang dirogol tadi, kalau dia dapat berkahwin [dengan perogol] dia takkan melalui satu jalan kehidupan masa depan yang gelap.

“Sekurang-kurangnya dia ada suami dia, ada orang yang boleh jadi suaminya pada ketika itu. Ini adalah satu remedi kepada masalah sosial yang berlaku.”

Ya, itulah kenyataan YB Shabudin waktu beliau menjadi Ahli Parlimen Barisan Nasional, sebelum diangkat oleh Perikatan Nasional menjadi timbalan menteri yang bertanggungjawab ke atas undang-undang negara dan hal ehwal parlimen.

Negara memerlukan tokoh yang menunjukkan teladan yang baik. Kenyataan di atas amatlah tidak menyakinkan wanita. Polisi yang melindungi martabat wanita, selari dengan nilai-nilai universal, sepatutnya digubal dan diangkat secepat mungkin tanpa melengahkan masa lagi.

Kita telah menyaksikan terlalu ramai pemimpin lelaki mahupun wanita mengeluarkan kenyataan yang merendah-rendahkan wanita. Rakyat masih ingat peristiwa di mana pentadbiran Perikatan Nasional telah mencadangkan wanita menggunakan suara Doraemon untuk bercakap dengan suami dan banyak bersolek. Ini menunjukkan tahap pemahaman yang amat rendah terhadap isu-isu keganasan rumahtangga dan jenayah seksual di mana kaum wanita seringkali menjadi mangsa. Pelantikan ahli politik yang tidak memahami keadaan semasa tidak membantu memajukan keadilan sosial dan hak asasi manusia. Malaysia tidak akan menjadi negara maju sekiranya pemimpin kita masih mempunyai pemikiran yang lama dan tidak membantu wanita.

Saya ingin bertanya kepada semua anggota wakil rakyat Perikatan Nasional, khususnya wakil-wakil rakyat wanita: adakah anda semua tidak berasa apa-apa dengan pelantikan ini? Adakah anak-anak perempuan kita akan lebih selamat dengan seorang timbalan menteri undang-undang yang mempunyai pemikiran sebegini? Tepuk dada tanya selera.

Sekali lagi, diucapkan tahniah atas pelantikan ini. Saya berdoa YB Shabudin Yahya mampu menggalas tanggungjawab yang baru.

SYERLEENA ABDUL RASHID
ADUN SERI DELIMA
AJK DAP WANITA KEBANGSAAN
PENOLONG SETIAUSAHA PUBLISITI DAP PULAU PINANG