Rencana tanpa fakta jelas bina persepsi buruk terhadap pimpinan kerajaan Pulau Pinang: Pengerusi Cawangan DAP Hill Railway

Kenyataan Media Oleh Mohd Hazizi Padzil, Pengerusi Cawangan DAP Hill Railway pada 16 Jun 2020

Saya merujuk sebuah rencana yang bertajuk ‘Pulau Pinang perlu arkitek baru bina masyarakat’ yang diterbitkan pada 10 Jun 2020 yang lalu.

Rencana tersebut ditulis tanpa disandarkan kepada fakta yang jelas dan berniat untuk membina persepsi buruk terhadap pimpinan kerajaan negeri hari ini.

Sejak 2008 sehinggalah hari ini, kerajaan negeri telah memainkan fungsi dan peranannya dengan baik sekali sama ada dalam pembangunan sosial mahupun penjanaan pertumbuhan ekonomi negeri.

Dalam pembangunan sosial, pelbagai program yang berfokus kepada golongan-golongan tertentu banyak dijalankan oleh agensi seperti Penang Youth Development Corporation (PYDC), Penang Women Development Corporation (PWDC), Penang Green Council (PGC), dan banyak lain. Program-program yang berbentuk pendidikan, sukan dan rekreasi, keusahawanan, kenegaraan malahan kesukarelawanan telah banyak dijalankan dalam usaha memberdayakan masyarakat menjadi institusi yang sihat dan empati.

Dalam usaha merancakkan aktiviti ekonomi isi rumah keluarga, pada tahun 2009, kerajaan negeri telah menjalankan program bantuan Agenda Ekonomi Saksama (AES). Kerajaan negeri menambah pendapatan isi rumah sehingga mencukupi RM790 bagi mereka keluar daripada garis kemiskinan.

Program AES telah memberikan manfaat kepada rakyat Pulau Pinang tanpa mengira Melayu, Cina atau India sekiranya mereka layak. Untuk rekod sehingaa 2017, seramai 1,411 penerima aktif menerima bantuan AES iaitu secara keseluruhannya sebanyak RM23, 215, 968. Program ini masih diteruskan sehingga hari ini. (https://www.buletinmutiara.com/aes-terima-kasih-kerajaan-negeri-sebab-bantu-keluarga-kami/)

Usaha kerajaan negeri diperkemaskan lagi dengan pelancaran visi Penang 2030 yang telah mengangkat empat tema iaitu meningkatkan taraf hidup serta kualiti hidup penduduk, mengembangkan saiz ekonomi demi meningkatkan pendapatan isi rumah, memperkasa rakyat demi mengukuhkan sistem masyarakat sivil dan pelaburan kerajaan negeri dalam pembangunan alam semula jadi agar lebih berdaya tahan.

Di dalam rencana tersebut juga menyatakan bahawa jenayah seperti dadah sangat serius di Pulau Pinang. Kenyataan ini seolah-olah memperkecilkan usaha pihak keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah di Malaysia secara amnya dan Pulau Pinang khususnya. Hal ini kerana, perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa PDRM. Namun begitu, berdasarkan statistik oleh PDRM, iaitu bilangan penagih dadah di Pulau Pinang telah kurang sebanyak -55% dari tahun 2016 ke 2018. Jumlah penagih dadah di Pulau Pinang telah menurun daripada 5,081 pada tahun 2016 kepada 2303 bagi tahun 2018. (https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=OWZSTkRPbGxwREpFbjRjZ2w1OUVGUT09umber)

Pihak keselamatan PDRM perlu diberikan pujian atas usaha ini. Jenayah berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira tempat, kumpulan mahupun individu. Justeru itu, PDRM telah memainkan peranannya yang tersendiri dengan baik.  Kenyataan di dalam rencana tersebut adakah mahu mempersoalkan tugas dan peranan PDRM membanteras jenayah di Pulau Pinang?

Penulis tersebut perlu merujuk fakta terhadap tohmahan yang dilontarkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang, dan kerajaan negeri tidak berkompromi dengan sesiapa pun yang terlibat dengan aktiviti jenayah.

Mohd Hazizi Padzil