Ahli parlimen Ramkarpal harap Peruntukan Khas PM dapat disalurkan untuk tangani krisis COVID-19

KENYATAAN MEDIA

Saya memohon kepada YAB Perdana Menteri agar membolehkan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang menggunakan semula Peruntukan Khas YAB Perdana Menteri yang telahpun dibekukan sejak 24.2.2020 berikutan pertukaran Kerajaan baru-baru ini.

Satu Notis telahpun dikeluarkan yang menyatakan, antara lain, seperti yang berikut:

“Berikutan perkembangan semasa yang berlaku di dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Pejabat ini ingin memaklumkan bahawa:

i. Peruntukan Khas YAB Perdana Menteri Untuk Kawasan Parlimen dan Peruntukan Pengurusan Pusat Khidmat.

  • Pihak tuan/puan hendaklah tidak meluluskan sebarang pembayaran bagi program/perbelanjaan yang dilaksanakan selepas 24 Feb 2020. Perkara ini adalah selaras dengan perkara 11 Garis Panduan Peruntukan Khas YAB PM Untuk Kawasan Parlimen Bil 1/2020 yang menyatakan “Sekiranya YB Ahli Parlimen meninggal dunia atau tidak lagi menjadi wakil rakyat Kerajaan bagi kawasan berkenaan, maka baki peruntukan yang disalurkan kepada Pusat Khidmat beliau hendaklah dikembalikan kepada Pejabat Pembangunan Negeri yang berkenaan.”

Arahan lanjut daripada Ibu Pejabat ICU JPM berhubung perkara ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Pada masa krisis Covid-19 yang kini melanda dunia, adalah penting untuk Petugas barisan hadapan ‘frontline’ seperti anggota polis, ahli bomba, kakitangan klinik, hospital, doktor dan sebagainya dibekalkan dengan alat-alat keperluan seperti topeng muka dan sanitizer dalam usaha menangani krisis tersebut dan kami memerlukan dana tersebut dengan segera bagi tujuan ini.

Adalah juga penting untuk setiap pusat perkhidmatan Ahli Parlimen meneruskan perkhidmatan dengan lancar untuk menerima aduan dan pertanyaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan tamat pada 31.3.2020 (sekiranya perintah tersebut tidak dilanjutkan), terutamanya berkaitan dengan krisis Covid-19 .

Oleh yang demikian, dana yang dibekukan diperlukan dengan segera bagi tujuan tersebut selain daripada membekalkan sokongan dan bekalan kepada petugas barisan hadapan.

Adalah diharapkan Pejabat Perdana Menteri dapat mengumumkan dalam masa terdekat bahawa pembekuan dana tersebut tidak lagi dilaksanakan dan dana tersebut akan disalurkan kepada pusat perkidmatan semua Ahli Parlimen, samada wakil Kerajaan ataupun tidak, untuk menangani krisis Covid-19 tersebut.

Bertarikh pada 20hb Mac, 2020.

RAMKARPAL SINGH
AHLI PARLIMEN
BUKIT GELUGOR
PENGERUSI BIRO GUAMAN
PARTI TINDAKAN DEMOKRATIK