Adalah komitmen kerajaan negeri PH selesaikan masalah rakyat: ADUN Daniel Gooi

Kenyataan Media YB Daniel Gooi, ADUN Pengkalan Kota pada 10 Disember 2019 (Selasa) di George Town, Pulau Pinang:

Komitmen Kerajaan Negeri Pakatan Harapan adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat. Selepas pelbagai usaha, akhirnya Perbadanan Pengurusan Blok 3 dan 5, Blok 7, 9 dan 11 Pangsapuri Pelangi berjaya ditubuhkan selepas 21 tahun. Banyak lagi yang perlu diusahakan untuk menjaminkan kelestarian dan kehidupan para penduduk.

Projek perumahan Pangsapuri Pelangi adalah sebuah projek perumahan yang dibina oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (Penang Development Corporation) pada tahun 1998.

Projek perumahan ini terdiri daripada 5 blok bangunan 17 tingkat dengan jumlah 192 unit rumah kediaman di setiap blok. Jumlah unit kediaman di skim perumahan ini adalah sebanyak 960 unit.

Projek perumahan ini sebenarnya terdiri daripada dua plot tanah yang berbeza di mana Blok 3 dan 5 adalah sebuah skim manakala Blok 7, 9 dan 11 adalah skim yang berlainan. Sejak projek perumahan ini disiapkan, banyak usaha telah diambil untuk mewujudkan Perbadanan Pengurusan namun ia tidak berjaya laksanakan.

Walaubagaimanapun, dengan sesi perbincangan dan keterlibatan penduduk yang telah diadakan di antara Pusat Khidmat KADUN Pengkalan Kota dengan wakil-wakil penduduk setempat, akhirnya Perbadanan Pengurusan bagi kedua-dua skim iaitu Perbadanan Pengurusan Blok 3 dan 5 Pangsapuri Pelangi dan Perbadanan Pengurusan Blok 7, 9 dan 11 Pangsapuri Pelangi telah masing-masing berjaya ditubuhkan pada 10 November 2019 mengikut Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

Ingin saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penduduk dan pemilik petak di projek perumahan ini yang berani memikul tanggungjawab untuk menguruskan projek perumahan mereka. Sememangnya usaha bagi penubuhan Perbadanan Pengurusan ini tidak akan tercapai sekiranya kekurangan kerjasama penduduk setempat.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited dan memberikan komitmen di mana kesejahteraan dan kelestarian projek perumahan ini akan terus dijaga walaupun kuasa pengurusan kini di dalam proses untuk diserahkan dari pihak PDC kepada Perbadanan Pengurusan.

Seperti mana yang sedia maklum, Kerajaan Negeri sentiasa bertindak aktif di dalam isu penyelenggaraan perumahan. Data terkini yang dikemukakan oleh YB Jagdeep Singh Deo, Pengerusi Jawatankuasa MMK Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa telah menunjukkan bahawasanya sebanyak RM232 juta telah disalurkan kepada 20,067 projek penyelenggaraan skim perumahan awam, 8,129 projek penyelenggaraan di bawah skim Pihak Berkuasa Tempatan dan 370 projek di bawah skim perumahan swasta.

Ini adalah testimoni Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang mementingkan program penyelenggaraan bagi menjaminkan kelestarian dan keselesaan penduduk di kesemua daerah di Pulau Pinang.

Selaku ADUN kawasan, saya turut akan membantu jawatankuasa Perbadanan Pengurusan yang baru untuk menyusuli kerja-kerja penyelenggaraan yang perlu dilaksanakan di Pangsapuri Pelangi untuk memastikan tahap kehidupan dan persekitaran penduduk setempat terjamin.

DANIEL GOOI