Blok pembangkang tidak berasas, 14 sesi mesyuarat termasuk 5 sesi pendengaran awam telahpun diadakan bagi perbincangan IPCMC: ahli parlimen Ramkarpal

KENYATAAN MEDIA

Saya merujuk kepada Kenyataan Akhbar Blok Pembangkang bertarikh 28.11.2019 berkenaan Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Dakwaan Blok Pembangkang bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang “hanya bersifat sekadar cukup syarat dan lakonan semata-mata” adalah dinafikan dengan sekerasnya.

Perlu dinyatakan di sini bahawa Jawatankuasa tersebut telahpun mengadakan 14 sesi mesyuarat termasuk 5 sesi pendengaran awam di Pulau Pinang, Johor, Kuala Terengganu, Sabah dan Sarawak bagi tujuan mendapat maklumbalas dan membincang isu-isu berkenaan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Dan Salah Laku Polis (IPCMC) tersebut yang turut dihadiri oleh wakil-wakil dan persatuan-persatuan PDRM.

Ahli-ahli Pembangkang di dalam Jawatankuasa juga telahpun hadir di beberapa sesi tersebut.

Pandangan-pandangan wakil-wakil tersebut telahpun dipertimbangkan dan diambilkira, antara lain, berkenaan isu-isu Perlembagaan dan kebajikan pihak polis, di dalam laporan Jawatankuasa tersebut yang telahpun diserahkan kepada pihak Kerajaan dalam jangka masa yang ditetapkan.

Kandungan laporan Jawatankuasa tersebut akan dibahaskan di Dewan Rakyat di mana kritikan terhadapnya boleh ditimbulkan secara spesifik dan syor-syor yang dibuat boleh diterima atau ditolak secara telusnya.

Justeru, kenyataan Blok Pembangkang tersebut adalah langsungnya tidak berasas dan dikesali.

Bertarikh 28hb November, 2019.

RAMKARPAL SINGH
AHLI PARLIMEN
BUKIT GELUGOR
PENGERUSI
JAWATANKUASA PILIHAN KHAS MENIMBANG RANG UNDANG-UNDANG