Kerajaan PH sedia dana RM1 bilion bantu rakyat milik rumah: Menteri Guan Eng

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah meluluskan lebih daripada 3,100 permohonan Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia (BNM) yang bernilai RM597 juta setakat 31 Oktober 2019, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurut beliau, institusi kewangan dan BNM telah menubuhkan Dana Rumah Mampu Milik dengan peruntukan berjumlah RM1 bilion sebagai langkah untuk mengurangkan kos sampingan pemilik rumah sejak Januari tahun ini.

“Penambahbaikan telah berkuat kuasa pada 1 Sept, 2019. Penambahbaikan yang dilaksanakan termasuklah pendapatan maksimum bulanan isi rumah dinaikkan sehingga RM4,360 dan harga maksimum hartanah dinaikkan kepada RM300,000,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Gaun Eng menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) tentang sejauh mana kemajuan yang telah dicapai oleh BNM untuk membantu lebih ramai rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik.

Tambah Guan Eng, golongan muda yang mahu memiliki rumah pertama mereka akan menerima pembiayaan daripada institusi kewangan pelaksana dengan kadar pembiayaan konsesi yang lebih murah daripada pasaran semasa, iaitu sebanyak 3.5 peratus setahun dan tempoh pembiayaan yang lebih panjang selama 40 tahun atau sehingga umur 70 tahun.

“Kadar pembiayaan yang rendah berserta tempoh pembiayaan yang lebih panjang dapat meningkatkan kemampuan peminjam melalui pengurangan pembayaran bulanan pembiayaan, seterusnya merangsang daya beli dan meningkatkan akses kepada pembiayaan,” katanya.

Artikel daripada Roketkini: