Kerajaan luluskan peruntukan kepada tabung amanah dikendali TAR alumni, manfaat TARUC & pelajar

SIARAN MEDIA
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA
YB TUAN LIM GUAN ENG

KERAJAAN MELULUSKAN SEKURANG-KURANGNYA RM30 JUTA SETIAP TAHUN UNTUK DIPERUNTUKKAN KEPADA SUATU TABUNG AMANAH YANG DIKENDALIKAN OLEH TUNKU ABDUL RAHMAN ALUMNI ASSOCIATION (TAA) UNTUK MANFAAT TUNKU ABDUL RAHMAN UNIVERSITY COLLEGE (TARUC) DAN PELAJAR-PELAJARNYA

Kerajaan meluluskan sekurang-kurangnya RM30 juta setiap tahun untuk diperuntukkan kepada suatu tabung amanah yang dikendalikan oleh Tunku Abdul Rahman Alumni Association (TAA) untuk manfaat Tunku Abdul Rahman University College (TARUC) dan pelajar-pelajarnya. Adalah dicadangkan “Tabung Amanah Geran Padanan Kerajaan Kepada TARUC” ini ditubuhkan oleh TAA secepat mungkin.

Tabung Amanah ini akan dianggotai oleh TAA, wakil pelajar TARUC dan seorang wakil Kementerian Kewangan. Terma rujukan Tabung Amanah adalah ia dikendalikan untuk manfaat TARUC sebagai sebuah institusi pendidikan dan pelajar-pelajarnya. Dengan kata lain, Tabung Amanah tersebut akan mengendalikan dana RM30 juta setiap tahun tersebut tanpa penglibatan atau campur tangan Kerajaan atau mana-mana parti politik termasuk daripada MCA mahupun Pakatan Harapan.

Sebelum ini, Kerajaan telah mensyaratkan tiada unsur politik dalam milikan atau pentadbiran TARUC supaya terus menerima geran padanan Kerajaan sekurang-kurangnya RM30 juta setahun. Syarat ini adalah untuk menghormati prinsip bahawa peruntukan awam tidak harus diberikan kepada badan perniagaan, media massa, NGO dan institusi pendidikan yang dikuasai oleh parti politik. Syarat ini diamalkan di seluruh dunia untuk mengelakkan amalan rasuah, salahguna kuasa dan percanggahan kepentingan.

Langkah baru ini diambil berikutan fitnah pihak tertentu yang mempersoalkan keikhlasan Kerajaan untuk menyalurkan sekurang-kurangnya RM30 juta setahun kepada TARUC sekiranya TARUC menghormati prinsip pengasingan di antara milikan parti politik dan institusi pendidikan kelak. Dana RM30 juta akan dibayar mulai 2019 sebaik sahaja Tabung Amanah ditubuhkan, dan RM30 juta lagi akan dibayar pada tahun hadapan.

Penyaluran dana daripada Tabung Amanah tersebut kepada TARUC masih boleh berlaku tetapi adalah tertakluk kepada syarat pemimpin MCA melepaskan kuasa milikan, pentadbiran dan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Ahli Lembaga Gabenor TARUC.

Sayangi Malaysiaku!

LIM GUAN ENG
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
22 November 2019