Isyarat jelas PH harus penuhi janji manifesto PRU14 atau jadi kerajaan sepenggal: ADUN Air Itam

Kenyataan Media YB Joseph Ng Soong Siang, 21hb November, 2019:

ISYARAT YANG JELAS KEPADA PAKATAN HARAPAN BAHAWA KERAJAAN PERSEKUTUAN HARUS MEMENUHI JANJI MANIFESTO GE14 ATAU TERIMA MENJADI KERAJAAN SATU PENGGAL

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada BN dan Wee Jeck Seng di atas kemenangan di Tanjung Piai dan itu adalah mandat yang diberi oleh rakyat seharusnya kita semua hormati.

Wee dimenangi dengan undi majoriti sebanyak 15,086 undi dengan mengumpul 25,466 undi berbanding undi Karmaine iaitu sebanyak 10,380.

Kerajaan Pakatan Harapan perlu kembali ke papan lukisan untuk menilai parti dan dasar kerajaan, pendekatan dan prestasi yang telah menyumbang kepada rasa tidak puas hati rakyat.

Pakatan Harapan harus mengambil serius diatas kekalahan teruk di Tg. Piai dan mengambilnya sebagai suatu pengajaran dan bertindak lebih aktif dalam memenuhi janji–janji yang telah dilakukan dalam Manifesto Pakatan Harapan.

Kita harus menyedari bahawa sejak kebelakangan ini pelbagai jenis cabaran yang telah kita hadapi dalam memenuhi janji manifesto, tetapi kita juga harus memahami dari persepsi rakyat sendiri.

Rakyat sudah tidak ingin mengetahui mengenai cabaran-cabaran, isu–isu, kleptokrasi kerajaan sebelumnya atau isu 1MDB, perkara–perkara ini sudah pun diketahui oleh mereka sejak PRU-14 lagi disebabkan itu, Pakatan Harapan telah diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir kerajaan kini.

Selain itu, segala kenyataan dan polisi yang mengetawakan rakyat juga haruslah diberhenti dengan kadar serta merta, kerana ianya juga akan menampakkan kerajaan Pakatan Harapan kelihatan boneka di mata rakyat.

Merujuk juga kepada khabar angin yang mengejutkan bahawa terdapat suatu komplot dibelakang tabir yang mendakwa Hishammuddin Hussein mengadakan komplot untuk menubuhkan kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah.

Perkara ini juga harus diberi pandangan yang serius dan pimpinan Pakatan Harapan harus memberi keyakinan kepada rakyat bahawa politik Malaysia berada dalam keadaan stabil dan ekonomi negara sedang beralih ke landasan yang betul.

Kelewatan kerajaan Pakatan Harapan dalam memenuhi janji–janji mereka akan mengakibatkan Pakatan Harapan untuk menjadi Kerajaan satu penggal.

Kita harus memahami bahawa, perjuangan kita selama ini tidak seharusnya dijadikan sia–sia dengan begitu sahaja.

Pelbagai rintangan yang telah kita hadapi untuk kita sampai ke tahap ini, adakah kita ingin membiarkan begitu sahaja? Adakah kita ingin dilihat sebagai suatu kerajaan yang lebih teruk berbanding kerajaan sebelumnya?

Oleh itu, Pakatan Harapan harus mengambil kekalahan ini sebagai sesuatu yang serius dan bukanlah sekadar percakapan lagi, manakala ianya perlu dilaksanakan dengan kadar serta merta.

Joseph Ng Soon Siang
Ahli Dewan Undangan Negeri
Air Itam