Kerajaan lancarkan Pas Mutiara, sasarkan penjualan sebanyak 2,500

UCAPAN MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN PAS MUTIARA
23 OGOS 2019

Salutasi:
Yang Amat Berhormat, Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad

Yang Berusaha En. Muhammad Nizam Alias, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Malaysia Berhad

Yang Berusaha En. Ang Yoke Kee, Ketua Pegawai Operasi Eksekutif Kumpulan (Strategi & transformasi) Prasarana Malaysia Berhad

Yang Berusaha En. Muhammad Yazurin Sallij, Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus Sdn Bhd

Yang Berhormat Tuan Soon Lip Chee, Exco Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Encik Osman Amir, Ketua Rapid Ferry

Ahli-ahli parlimen,

Dif-dif Kehormat, wakil-wakil kerajaan negeri dan jabatan, Barisan Kepimpinan Kanan Prasarana, rakan-rakan media, serta Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

Selamat pagi, salam sejahtera dan salam hormat.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para hadirin semua kerana sudi bersama-sama kita pada hari ini, di dalam satu majlis yang saya fikir amat bermakna; lebih-lebih lagi kepada rakyat khususnya yang berada di Pulau Pinang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Seperti mana yang diketahui umum, pada Disember 2018 Kerajaan Pusat telah melancarkan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50. Berikutan itu, pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 itu telah diaktifkan pada Januari 2019.

Sehingga kini, kami dapati sambutan daripada rakyat di Lembah Klang kepada pas perjalanan tanpa tersebut adalah amat memberangsangkan. Dengan penggunaan pas perjalanan tanpa had ini juga, rakyat berupaya mengurangkan kos sara hidup mereka apabila mereka pergi ke kerja, belajar dan menjalankan aktiviti-aktiviti harian mereka.

Justeru itu, kami percaya sekiranya rakyat diberikan pilihan pengangkutan awam darat yang mudah diakses, dengan harga berpatutan dan bersepadu, rakyat akan tertarik dan akan dengan lebih mudah meninggalkan kenderaan mereka di rumah atau di tempat letak kereta yang disediakan; serta beralih menggunakan pengangkutan awam.

Dengan sekali gus, apabila lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam, kita dapat mengurangkan kesesakan jalan raya terutamanya yang masuk ke dalam pusat bandar pada setiap hari, dan dengan itu juga dapat mengurangkan emisi karbon.

Saya percaya, apabila lebih ramai nampak manfaat menggunakan pengangkutan awam, mereka yang tidak pernah menggunakan pengangkutan awam akan tertarik untuk menggunakan atau paling tidak pun, untuk cuba menggunakan pengangkutan awam. Ini adalah aspirasi Kerajaan menuju ke arah Malaysia yang lebih maju dan bersih.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Melihat kepada sambutan dan kejayaan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 di Lembah Klang, Kerajaan Pusat telah mengatur langkah bagi melancarkan fasa kedua, iaitu dengan pelancaran pas perjalanan tanpa had di Pulau Pinang.

Bertitik tolak daripada itu, kita bertemu di Terminal Bas Weld Quay B pada hari ini bagi pelancaran Pas Mutiara yang merupakan pas perjalanan tanpa had selama 30 hari yang membolehkan rakyat menikmati perjalanan yang lancar dengan perkhidmatan Rapid Penang dan Rapid Ferry. Ini adalah satu ciri yang amat berlainan daripada pas perjalanan tanpa had yang dilancarkan di Lembah Klang sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, saya dimaklumkan bahawa Rapid Penang beroperasi menggunaan 404 bas, merentasi 71 laluan dengan jumlah penumpang tahunan (annual ridership)  sebanyak 16 juta setahun; dan sehingga bulan Julai 2019, jumlah purata penumpang harian (average daily ridership) adalah melebihi 75 ribu penumpang sehari.

Manakala Rapid Ferry pula beroperasi menggunakan 6 feri yang berlabuh di 2 jeti, dengan jumlah penumpang tahunan (annual ridership) sebanyak 865,559 penumpang dan 762,498 kenderaan. Sehingga bulan Julai 2019, jumlah purata penumpang harian (average daily ridership) adalah 3,696 penumpang, 1,198 kereta, 1,855 motorsikal dan 59 kenderaan daripada jenis-jenis lain sehari.

Oleh itu, sungguhpun belum ada perkhidmatan rel yang boleh dimanfaatkan bersama Pas Mutiara seperti di Lembah Klang, Pas Mutiara ini tidak kurang hebatnya kerana seperti yang dinyatakan oleh Dato’ Mohammed Hazlan tadi, ia boleh digunakan di darat dan juga di laut. Malah tiada satu negeri pun di Malaysia yang mempunyai satu pas perjalanan tanpa had sebegini! Ini adalah suatu yang saya fikir amat istimewa.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kerajaan Pusat sebenarnya amat prihatin dengan peningkatan kos sara hidup rakyat yang semakin mencabar. Oleh itu, melalui penjimatan yang ditawarkan oleh Pas Mutiara, yang akan dilancarkan sebentar nanti, rakyat sudah tentu dapat mengurangkan serba sedikit bebanan kos sara hidup mereka.

Pelancaran Pas Mutiara ini secara tidak langsung juga, dapat meningkatkan aktiviti ekonomi rakyat. Misalannya, dengan peningkatan kemudahan jaringan pengangkutan di antara Pulau dan Seberang Perai, pas perjalanan tanpa had ini dapat membantu memacu ekonomi bukan sahaja di dalam Pulau Pinang malah di negeri-negeri berdekatan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya dimaklumkan bahawa Prasarana mensasarkan dapat menjual sehingga 2,500 Pas Mutiara menjelang Disember 2019, dan mencapai 4,000 pas perjalanan tanpa had pada bulan Disember 2020.

Sungguhpun sistem pembayaran tanpa tunai masih baru di negeri ini, terutamanya di dalam sektor industri pengangkutan awam, saya percaya dari segi penerimaan masyarakat di Malaysia secara amnya, bahawa rakyat Pulau Pinang akan menerimanya dengan baik. Oleh itu, saya yakin penjualan Pas Mutiara ini akan melebihi sasaran yang disebutkan tadi.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sebenarnya, pelancaran pas tanpa had seperti Pas Mutiara ini adalah bersesuaian dengan aspirasi Kerajaan untuk maju selangkah lagi ke hadapan, sejajar dengan perkembangan teknologi.

Teknologi seperti ini berupaya memberikan kemudahan kepada rakyat dan dapat menyalurkan semula penjimatan kepada rakyat. Justeru itu, Kerajaan juga sentiasa menggalakkan kaedah pembayaran tanpa tunai di kalangan rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya daripada Kementerian Pengangkutan dengan itu ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pulau Pinang kerana menyokong inisiatif seperti ini untuk memberikan manfaat kepada rakyat. Tanpa kerjasama yang erat, sudah tentu inisiatif seperti ini, tidak akan berjaya.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Prasarana yang telah sekian lama ini menyokong segala inisiatif Kerajaan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam bagi kemudahan dan kesejahteraan rakyat di Malaysia.

Sekian , terima kasih