Penyertaan belia berumur 18 dalam politik dapat jadi realiti: Senator Hui Ying

Ucapan Perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 oleh Senator Lim Hui Ying di Dewan Negara pada 25 Julai 2019

Tan Sri Yang Di Pertua,

1. Terima kasih saya ucapkan atas peluang yang diberikan untuk menyertai perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang bertujuan untuk menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun, pendaftaran pengundi secara automatik pada 18 tahun dan menurunkan had umur calon Pilihan Raya kepada 18 tahun.

2. Pada 10 Disember 1971, Saudara Lim Kit Siang, ketika itu Ahli Parlimen Bandar Melaka dalam ucapan penangguhan beliau dalam Dewan Rakyat telah menggesa kerajaan untuk menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun.

3. 48 tahun selepas itu, pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat dengan sebulat suaranya telah menyokong pindaan Perlembagaan bagi tujuan tersebut. Kedua-dua Ahli Kerajaan dan Pembangkang telah mengenepikan perbezaan politik masing-masing bagi melaksanakan suatu perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat Malaysia. Syabas saya ucapkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan Rakyat.

4. Dalam pada itu, saya berpendapat, kita juga harus mengiktirafkan visi Saudara Lim Kit Siang yang begitu ke hadapan ketika itu untuk mengetengahkan suatu usul yang akhirnya mendapat penerimaan kedua-dua pihak selepas 48 tahun.

5.   Terdapat pelbagai pihak yang menyatakan kebimbangan tentang kematangan belia berumur 18 tahun untuk mengundi menentukan masa depan negara. Pelbagai hujah telahpun dikemukakan untuk menyanggah pandangan sempit sedemikian. Saya tidak ingin lagi mengulangi hujah-hujah tersebut; malah pada tahun 1971 lagi, Ahli Parlimen Bandar Melaka telah berhujah:

“Seseorang itu patut diberi hak mengundi dan kata putus bagaimana kehidupan-nya dan bagaimana negara ini ditadbir – di peringkat umur di mana masyarakat menjangka mereka menggalas tanggungjawab sosial sebagai orang dewasa.”  

Tan Sri Yang Di Pertua,

6. Namun, saya berasa, kekhuatiran yang munasabah ialah bagaimana kita boleh membuka pentas penyertaan politik kepada belia setelah sekian lama mereka dinafikan hak tersebut. 

7. Pada hari ini, masyarakat memandang serong politik seakan-akan ianya benda yang tidak baik dan kita tidak patut mendedahkan anak muda kepada politik. Kadang-kala kita tidak boleh menyalahkan mereka yang mempunyai persepsi sebegini apabila sekian lama politik tanah air dicemari politik perkauman, rasuah dan salah guna kuasa. Walau bagaimanapun saya ingin tegaskan di sini bahawa, penyelesaian kepada politik yang buruk ini bukannya pengasingan daripada politik, tetapi kita perlu ada politik baru yang bersifat membina, berintegriti serta merangkumi nilai-nilai progressif seperti demokrasi, keadilan dan persaudaraan. 

8. Dalam aspek ini, kerajaan perlu memikirkan mekanisme untuk memperkenalkan semula politik baru ini kepada masyarakat kita termasuk anak-anak di bangku sekolah lagi. Kebimbangan umum bahawa anak-anak tidak patut didedahkan kepada politik ialah sebab mereka berpandangan politik itu kotor. Jika politik itu ialah tentang urus tadbir baik, unsur-unsur keadilan, demokrasi dan kelestarian, maka saya yakin, pengenalan politik waima di bangku sekolah bukan suatu perkara yang negatif. 

Tan Sri Yang DiPertua,

9. Saya juga ingin menanya kepada kerajaan jadual perlaksanaan ketiga-tiga pindaan tersebut, yakni: penurunan umur pengundi kepada 18 tahun, penurunan umur Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negeri serta pendaftaran pengundi secara automatik. 

10. Adakah ketiga-tiga ini akan dilaksanakan serentak, ataupun pendaftaran pengundi berumur 18 tahun sudahpun boleh bermula sementara menunggu sistem pendaftaran automatik disiapkan? Saya berharap pihak Kerajaan akan memberikan satu pelan tempoh masa yang jelas kerana perkara ini berpotensi menjejaskan pilihan raya yang akan datang. Semua parti politik perlu diberi makluman awal dan pelan yang munasabah untuk membuat persiapan masing-masing. 

Tan Sri Yang DiPertua, 

11. Akhir sekali saya juga ingin mengesyorkan agar pindaan turut dibuat bagi menurunkan had umur keahlian Dewan yang mulia ini. Kita telahpun membahaskan rang undang-undang berkaitan belia yang begitu penting dalam minggu ini yang telahpun diluluskan. Maka jelas hala tuju pentadbiran hari ini ialah pengupayaan belia, memberikan suara yang lebih jelas dan platform yang lebih luas kepada belia sebagai penentu dan pembentuk masa depan negara. Justeru, tidak logik jika had umur pengundi, serta umur keahlian Dewan Rakyat dan Dewan Negeri diturunkan kepada 18 tahun, umur keahlian Dewan yang mulia ini masih kekal dalam kerangka lama. Saya berharap kerajaan akan segera melaksanakan penurunan umur keahlian Dewan Negara kepada 18 tahun bagi memenuhi aspirasi, serta dasar semasa negara dan dunia. 

Tan Sri Yang DiPertua,

12. Bayangkan, jika ada seorang rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun pada tahun 1971 ketika Saudara Lim Kit Siang membangkitkan cadangan penurunan umur pengundi; pada hari ini, dia sudahpun berumur 66 tahun. Jika kerajaan ketika itu menerima cadangan Saudara Lim Kit Siang, maka rakyat Malaysia tersebut sudahpun berpeluang mengundi dalam 11 pilihan raya umum. Pada minggu lepas, rakan-rakan Yang Berhormat di Dewan Rakyat telah sepakat, tidak mengira fahaman politik, bersama-sama membuat suatu keputusan yang sepatutnya telah dibuat setengah abad yang lalu. Walaupun lewat hampir 50 tahun, namun kita boleh berasa bangga kerana Undi18 ini telahpun terlaksana. Kini perhatian ditumpukan ke Dewan yang mulia ini. Saya berharap kita juga akan membuat keputusan yang betul seperti rakan-rakan kita di Dewan Rakyat. Dengan ini, saya menyokong Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 dan mengalu-alukan para belia Malaysia untuk membawa nafas baharu ke dalam arena politik negara. 

Sekian, terima kasih.